Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menyatakan bahawa dia berasa gembira kerana berpindah ke ‘Afrika Selatan’ dalam majlis pelancaran rasmi selepas diterima bermain dengan kelab Arab Saudi, Al-Nassr, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kontrak penyerang berusia 37 tahun itu di Manchester United telah ditamatkan pada November tahun lalu selepas dia mengkritik kelab tersebut ketika ditemu bual dengan pengacara terkenal Britain, Piers Morgan. Ronaldo kini telah menandatangani kontrak untuk pasukan Asia Barat itu dengan kontrak £175 juta (RM923.86 juta) setahun tetapi membuat kesilapan aneh yang menggambarkan perpindahannya ke ‘Afrika Selatan’ pada sidang akhbar Al-Nassr pertamanya.
Rakaman video yang dikeluarkan di media sosial menunjukkan dia berkata: “Bola sepak adalah berbeza. Jadi, ia bukan pengakhiran karier saya untuk datang ke Afrika Selatan. Itulah sebabnya saya mahu berubah dan sejujurnya saya tidak risau dengan apa yang orang perkatakan.” Ronaldo tiba di Arab Saudi pada Isnin lalu dan menyiarkan video pendek di Instagram di mana dia memberitahu peminat: “Jumpa anda tidak lama lagi”. Ronaldo mendarat di negara itu pada malam Isnin dan kelab Al-Nassr kini telah menyiarkan rakaman ketibaan bintang bola sepak itu bersama keluarganya. Video tersebut menunjukkan Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez disambut oleh dua peminat muda yang menghulurkan sekuntum bunga kepada pasangan itu. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT