Angela Nikolau, pendaki bebas yang menggemparkan negara baru-baru ini selepas memanjat Menara Merdeka 118, hairan dengan dakwaan polis bahawa video aksi ekstremnya di bangunan kedua tertinggi di dunia itu mungkin palsu.
Bercakap kepada The Vibes, wanita Rusia berusia 29 tahun itu berkata, beberapa klip yang dimuat naik olehnya dan pasangan Ivan Beerkus di akaun media sosial mereka sepatutnya menjadi bukti mencukupi tentang kesahihan perkara tersebut. Tambah Nikolau, melihat pengalamannya selama bertahun-tahun dalam aktiviti ekstrem, adalah pelik baginya untuk berbohong mengenai perkara itu kerana ia menjejaskan kredibilitinya. “Saya tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi balas terhadap andaian bahawa video yang disiarkan adalah palsu, kerana saya fikir terdapat cukup kandungan yang menunjukkan ia adalah sahih.
“Saya fikir ia akan mengambil terlalu banyak masa dan usaha untuk memalsukan perkara sedemikian! Selain itu, sebagai pendaki bangunan wanita pertama, saya perlu mengekalkan standard yang tinggi. “Dan dengan mengambil kira pengalaman saya sebelum ini dan NFT (token tidak boleh digunakan), adalah pelik untuk menyiarkan sesuatu yang palsu,” katanya. NFT ialah pengecam digital yang direkodkan dan dicetak pada teknologi blockchain dan digunakan untuk mengesahkan ketulenan dan pemilikan. Tindakan Nikolau dan Beerkus mendaki Merdeka 118 setinggi 679m mula tular pada 27 Disember lalu selepas gambar pasangan tersebut disiarkan di SkyscraperCity.com. Pasangan itu mengesahkan aksi ekstrem mereka dua hari kemudian melalui siaran Instagram berasingan yang memaparkan video dan rakaman dron di puncak menara berkenaan. Mereka menggambarkan menara itu sebagai bangunan pencakar langit terindah pernah mereka kunjungi. Pada Ahad lalu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan video tular di media sosial itu dimanipulasi secara digital. Menurut beliau, polis sedang menyiasat kesahihan video terbabit selepas dimaklumkan oleh pengurusan menara itu bahawa kawalan keselamatan yang ketat di situ akan menyukarkan sesiapa pun untuk masuk atau memanjat bangunan berkenaan. Kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana menceroboh selepas laporan polis dibuat. Nikolau berkata, dia akan memuatnaik gambar baharu yang diambil dari bumbung Menara Merdeka 118 esok, bagi mengesahkan keaslian pendakiannya. Sementara itu, Nikolau mengesahkan dia belum dipanggil atau disoal siasat oleh polis setakat ini, tetapi diam membisu tentang keberadaannya kerana bimbang akan kesannya. Kepada pengikut di Malaysia, Nikolau berkata: “Saya suka Malaysia, ia adalah negara yang menakjubkan! Tidak pasti sama ada saya akan dialu-alukan di sini lagi.” Sumber: The Vibes
|
gaban_spacecop replied at 4-1-2023 02:27 PM
mcm mana dia boleh panjat bangunan yg tgh construction
ADVERTISEMENT