Prihatin dengan kebajikan dan keperluan pembelajaran murid sekolah yang kurang bernasib baik, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyumbangkan barangan kelengkapan persekolahan kepada 400 murid dari lima buah sekolah dan dua rumah kebajikan berdaftar.
Mydin dalam kenyataan memaklumkan sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin Prihatin ‘Jelajah Generasi Pintar’ itu diadakan di Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan pada 27 Dis lepas, melibatkan set kelengkapan uniform sekolah bernilai RM150 bagi setiap murid. Penerima terdiri daripada murid dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong Jaya, Seremban (Negeri Sembilan); SK Bukit Hampar (Melaka); SK Sri Melanta Jaya, Sandakan (Sabah); serta Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg dan Sekolah Encik Buyong, Kuching (Sarawak).
Turut menerima sumbangan murid dan pelajar dari Rumah Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Subang Jaya (Selangor) dan Persatuan Pendidikan Anak-anak Yatim Lipis (Pahang). Pengarah Eksekutif Mydin Ahimmat Mydin berkata pihaknya amat komited memastikan murid kurang berkemampuan mendapat pembelajaran sempurna seperti mereka yang bernasib baik. “Kami amat memahami dan dekat dengan masyarakat khususnya golongan B40, situasi ekonomi semasa yang kian mencabar ini amat memberi impak kepada corak perbelanjaan mereka. “Justeru, sebagai satu daripada syarikat korporat yang bertanggungjawab, kami terpanggil untuk meneruskan program bantuan tahunan ini bagi memastikan dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada murid-murid tersebut,” katanya. Mydin Prihatin merupakan inisiatif program CSR dengan usaha sama rakan-rakan niaga serta pembekal Mydin bagi membantu komuniti yang memerlukan. Sumber: BERNAMA
|
ADVERTISEMENT