Padah menunggang motosikal sambil menghayun pisau ke arah orang awam yang melalui Jalan Pulau, di sini, semalam, seorang lelaki dicekup polis. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu selepas dikesan di tepi Jalan Bukit Assek jam 9 malam tadi.
"Suspek ditahan kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam. "Turut dirampas ialah pisau serta motosikal yang digunakan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada jam 5 petang semalam, polis mengesan rakaman video tular berdurasi 16 saat yang memaparkan seorang lelaki menunggang sebuah motosikal sambil menghayun pisau ke arah orang awam yang melalui Jalan Pulau. Menjelas lanjut, Zulkipli berkata, semakan yang dijalankan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. "Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya," tegasnya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT