Shila Amzah syak dirinya disihir. "Bila kita dalam bidang ini, macam-macam benda boleh kena," katanya kepada Kosmo.
Menurutnya sejak kebelakangan ini, dia jarang keluar rumah untuk mengelak daripada terkena perkara yang bukan-bukan. “Saya mengambil langkah berjaga-jaga. Sejak dua menjak ini, saya sering jatuh sakit juga sebenarnya. Selepas habis Gegar Vaganza (GV), selalu sakit. “Sungguhpun begitu, saya cuba untuk tidak selalu keluar rumah atau berjumpa dengan orang sangat. Kalau keluar pun, atas urusan kerja atau bersukan bersama orang-orang yang saya percaya.
“Sekarang ini, saya sedang dalam proses untuk mendapatkan balik kesembuhan itu. Insya-Allah."
Dia juga kini mendapatkan rawatan moden dan juga tradisional untuk sembuh daripada penyakit misteri tersebut yang sukar untuk digambarkan. Kesakitan dialaminya langsung tidak menunjukkan perubahan selepas berjumpa doktor sekali gus membuatkan dia berasa mungkin ada ‘benda lain’ yang mengganggu.
“Benda tersebut (sihir) memang disebut dalam al-Quran dan ‘hidup’ di sekeliling kita. Jadi, untuk saya bukanlah satu benda yang luar biasa sangat. “Cuma, saya sendiri tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Bila ‘terkena’, sudah tentu kita kena kuat semangat. “Kena kumpul balik kekuatan untuk bekerja sebab benda begini macam gangguan contohnya membuatkan kita malas, ‘spacing’ dan kadang-kadang saya termenung entah kenapa. “Nak cakap sesuatu tiba-tiba terlupa. Ada masa saya tak nak keluar rumah dan lebih suka menyendiri. Itu semua memang bukan saya." Sementara itu, kemurungan atau anxiety yang dialami semakin memulih.
“Alhamdulillah, selepas berjumpa beberapa pihak untuk mengembalikan keadaan seperti sediakala, saya dah rasa lebih baik berbanding sebelum ini (dari segi mental). “Saya tak nak bergantung dengan ubat-ubatan. Saya cuba untuk pulih secara semula jadi. Macam sekarang, saya selalu buat senaman pernafasan. “Anxiety selalunya berlaku pada waktu malam. Antara dua sama ada terlalu tiada orang ataupun terlalu ramai orang. Masalah tersebut akan datang dalam keadaan yang tidak dijangka. “Sekarang memang mengalami banyak masalah untuk tidur malam terutama selepas saya sakit waktu GV. Jadi sekarang, saya cuba nak kembali pada landasan walaupun kadang-kadang badan sakit tak tentu masa."
Sekitar Mac 2022, Shila mengalami anxiety atau masalah kebimbangan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan pakar. Terdahulu, Shila kehilangan suara selepas bertanding dalam GV9 sekali gus mengganggu tumpuannya dalam program realiti nombor satu tanah air tersebut. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|