Niat seorang kanak-kanak perempuan membantu ibunya menghantar makanan yang dipesan pelanggan bertukar tragedi apabila dia diserang seekor anjing.
Kanak-kanak malang itu cuba berlari ke rumahnya sebelum terjatuh di jalan dan diserang anjing berkenaan, dipercayai kepunyaan jiran. Insiden itu berjaya dirakamkan menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta seorang saksi yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian. Tindakan pemandu kereta itu membunyikan hon secara bertalu-talu bagi menakut-nakutkan anjing berkenaan akhirnya menyelamatkan mangsa daripada terus diserang, sebelum haiwan liar itu beredar. Bercakap kepada mStar, ibu kanak-kanak itu, Zuraidah Ibrahim berkata, video rakaman kejadian yang baru dikongsi di laman TikTok berlaku pada bulan lalu.
Walaupun sebulan berlalu, katanya, anak perempuannya yang berusia 10 tahun masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku dekat rumahnya di Kulai, Johor. "Sejak kejadian, anak tak nak keluar sendiri lagi. Masa tu saya minta dia buat COD (penghantaran tunai), ada jiran lain beli makanan. Mungkin anjing tu nampak dia bawa makanan. "Kadang-kadang dia mengigau masa tidur malam. Anak terpekik minta tolong macam masa kejadian," katanya ketika dihubungi mStar. Mengimbas kembali mengenai kejadian, wanita berusia 38 tahun itu tanpa berfikir panjang terus bergegas membawa anaknya yang mengalami luka ke klinik. "Tapi dua klinik tak nak buat sebab lukanya agak besar dan dalam. Jadi, saya terus bawa anak ke hospital dekat Kempas untuk rawatan lanjut. "Anak terpaksa dimasukkan ke wad sebab kalau ikut video tu, anak jatuh terhentak. Doktor bimbang jika ada keretakan tulang," katanya sambil memberitahu bahawa anaknya terlantar di hospital selama tiga hari. Zuraidah yang dikenali sebagai Kak Omel dalam kalangan pelanggannya berkata, mengikut laporan doktor, dia bersyukur kerana tiada sebarang tulang retak atau patah pada anaknya. "Cuma ada luka di kedua-kedua lutut akibat terjatuh, sedikit di tangan kesan cakaran, dan belakang badan ada kesan benam kuku," katanya sambil menambah kejadian itu mendapat perhatian Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) susulan rakaman video yang tular. Ibu kepada dua anak yang berasal dari Johor Bahru ini kesal dengan sikap jirannya yang lepas tangan selain membiarkan pintu pagar rumah terbuka pada hari kejadian sehingga anjing mereka bertindak ganas terhadap anaknya. "Dah tahu salah, datanglah berjumpa minta maaf. (Sebaliknya) dia cakap bukan anak you mati pun kan! Biadab tak? Dia kata anjingnya bukan serang tapi sekadar bergurau, bermain. "Kepada semua penduduk yang berjiwa Malaysia, minta hormat. Kalau nak bela anjing, pastikan ada lesen dan anjing tak mengganggu jiran lain. "Sebab tinggal di kawasan perumahan ni, ramai kanak-kanak. Keselamatan mereka agak berbahaya sekiranya ada insan yang tak bertanggungjawab macam ni," katanya. Dalam pada itu, Zuraidah yang berniaga makanan sejak awal tahun berterima kasih kepada pemandu yang merakamkan kejadian yang juga merupakan pelanggannya. "Pelanggan tu baru lepas beli kuih masa tu. Kalau dia tak hon, anjing tu mungkin lebih mengganas. Tapi jangan salah faham kenapa dia tak turun tolong. "Pelanggan saya tu warga emas, baru je balik dari buat dialisis di hospital. Itu saja yang dia mampu tolong. Kena faham dia orang tua dan sakit," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT