Penerbit dan pengarah teater, Siti Rohaya Atan mendedahkan, masih ada produksi menawarkan hanya RM50 kepada pelakon sebagai bayaran untuk penglibatan dan komitmen sepanjang persembahan serta latihan.
Mengakui terkejut dan sedih, dedah Siti Rohaya, beberapa pelakon mengadu apabila sudah berkali-kali ditipu produksi yang mengaut keuntungan atas angin dengan memberi bayaran tidak setimpal. “Mula-mula janji mahu bayar RM50, selain kongsi keuntungan. Tetapi, selepas persembahan, diam. Kalau RM50 sehari, kita boleh faham lagi, tetapi itulah bayaran untuk sebulan latihan dan seminggu persembahan. Ini menganiaya pelakon. “Malah, ada juga pelakon teater yang bergaduh suami isteri kerana masalah kewangan selepas ditipu produksi. Terkejut saya bila satu persatu cerita didedahkan mereka.
“Selama 30 tahun dalam dunia teater, saya tidak sangka masih ada syarikat produksi yang menipu dan menganiaya pelakon teater kita. Memang mereka tidak terlalu popular, tetapi komitmen dan bakat mereka perlu dihargai,” katanya kepada Utusan Malaysia. Dalam pada itu, pengarah teater Upin & Ipin The Musical itu menambah, pelakon teater harus bijak dalam memastikan setiap perjanjian ada hitam putih dan bukan sekadar mendengar janji manis ditabur. “Kalau tidak ada duit, jangan buat teater. Jangan menzalimi orang. Bila ditipu dan dianiaya, hilang semangat serta kepercayaan mereka kepada dunia teater. Ini bukan zaman orang berlakon kerana seni. Kita nak hidup. “Sebelum terima tawaran, bincang dulu. Pastikan ada hitam putih. Kalau kongsi keuntungan, pastikan ada peratusan termaktub dalam kontrak. Tidak boleh percaya bulat-bulat. Bila timbul isu begini, tidak tahu mahu salahkan siapa. “Produksi juga perlu telus. Industri teater tidak besar mana. Satu hari nanti, cerita kezaliman anda akan tersebar. Nanti diam, lari dan menyorok,” kongsi penerbit CTRA Production tersebut. Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT