Petisyen untuk menukar imej ikonik Argentina, Maria Eva Duarte de Peron, kepada gambar pemenang Piala Dunia Lionel Messi semakin mendapat momentum pada Jumaat.
Petisyen berkenaan mencadangkan agar imej Messi menggantikan gambar bekas wanita pertama itu yang kini menghiasi bangunan Kementerian Pembangunan Sosial di Buenos Aires. "Harus ada imej warga Argentina yang benar-benar mewakili kita SEMUA. “Messi melambangkan Argentina yang sebenar "disebabkan nilai, usaha dan penghormatan yang ditunjukkannya," lapor Agensi Anadolu memetik petisyen atas talian yang dicipta Beni Cocca. Petisyen itu turut menggariskan populariti Messi, bukan sahaja di Argentina tetapi di seluruh dunia serta menyifatkan beliau sebagai "seseorang yang memberikan kegembiraan dan telah berjaya membuatkan beribu-ribu orang dari negara lain untuk menyokong Argentina."
Petisyen itu telah mendapat lebih 4,500 tandatangan sejak ia dilancarkan pada Ahad. Dianggarkan lima juta orang memenuhi jalanan di ibu negara Argentina pada Selasa, sambil menyarungkan jersi bola sepak kebangsaan, membawa bendera, dan mengalu-alukan juara Piala Dunia itu hingga pusat bandar itu ditenggelami lautan biru dan putih. Sumber: Bernama
|
ADVERTISEMENT