Salinan transkrip ditandatangani Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang menghina seorang pemimpin pembangkang dijual pada harga lebih NZ$100,000 (RM278,501) dalam satu sesi lelongan amal baru-baru ini.
Lapor BBC, komen kontroversi itu dapat di dengari melalui mikrofon berikutan perbahasan hangat antara Ardern dan pemimpin parti ACT, David Seymour di Parlimen dua minggu lalu. Ketika perbahasan, Ardern membidas Seymour selepas ketua parti sayap kanan itu memintanya untuk memberikan contoh di mana beliau dan partinya pernah membuat kesilapan, memohon maaf dan membetulkan kesilapan itu sepanjang memegang tampuk pemerintahan. Ardern mempertahankan rekod kerajaan Buruhnya sebelum duduk dan mengutuk Seymour sebagai seorang lelaki yang angkuh.
Kenyataan itu didengari dengan jelas menerusi mikrofonnya dan disimpan dalam rekod rasmi Parlimen, Hansard selepas Seymour meminta Ardern membuat permohonan maaf. Ardern kemudiannya memohon maaf atas kenyataan itu sebelum Seymour mencadangkan mereka bergabung tenaga bagi mengumpul dana untuk Yayasan Kanser Prostat New Zealand.
|
ADVERTISEMENT