Kosmo! Online melaporkan, mangsa penipuan skim ‘kutu extra’ itu bukan hanya kempunan untuk mendapatkan pulangan tambahan hasil pelaburan kutu yang dilakukan, malah rata-ratanya mendakwa kerugian sehingga mencecah puluhan ribu ringgit apabila ditipu seorang wanita digelar ‘ibu kutu’.
Difahamkan, ibu kutu kepada skim ini berjaya mengumpul sejumlah RM70 juta hasil kutipan duit kutu daripada pemain sebelum wanita itu dilaporkan menghilangkan diri. Modus operandi ibu kutu ini cukup mudah, iaitu menawarkan permainan kutu dengan pulangan tambahan selain menjadikan suri rumah dan mereka yang tinggal di kampung sebagai sasaran. Mencerita pengalaman itu, seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Atul, 28, mengakui, dia mula mengenali ibu kutu berkenaan menerusi Facebook sekitar tahun 2015 apabila mereka bersama-sama aktif dalam kumpulan ibu-ibu hamil.
Katanya, dia kemudian tertarik dengan tawaran pendapatan tambahan yang dipromosikan wanita berkenaan pada status Facebooknya sebelum membuat keputusan untuk bermain ‘kutu extra’ bagi menampung pendapatan sebagai suri rumah. “Pada awalnya, saya ikut serta dalam slot kutu biasa 15 bulan yang ditawarkan oleh ibu kutu pada 2016, dan memang betul, cukup tempoh dan giliran memang kami dapat duit tersebut. “Kumpulan kutu yang dibentuk juga banyak, lebih 100 kumpulan, sebab itu saya yakin untuk sertai. “Pada tahun 2020, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wanita tersebut mula promosikan ‘kutu extra’ di Facebook yang menawarkan pulangan tambahan sekitar 20 hingga 60 peratus daripada jumlah yang dilabur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Menurut Atul, jumlah tambahan itu dibayar menggunakan duit kutu pemain yang telah menarik diri. “Dalam sistem kutu, pemain yang sudah sertai dan jika dia memilih untuk menarik diri, maka duit tersebut akan dikira hangus,” tambahnya. Atul berkata, bagi melancarkan proses, ibu kutu tersebut turut melantik ‘Admin’ yang memainkan peranan sebagai orang tengah antara ibu kutu dengan pemain. Katanya, kumpulan sasaran adalah golongan suri rumah yang sememangnya memerlukan pendapatan sendiri bagi menampung perbelanjaan keluarga dan suami. “Ibu kutu maklumkan bahawa ‘Admin’ juga akan dapat gaji dan komisen sekitar dua hingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan pemain yang dicari. “Sebab itu saya bertambah yakin dan berminat untuk mencari pendapatan sendiri walaupun hanya bergelar suri rumah. Jadi seronok bila dapat pegang duit sendiri. “Lepas saya daftar sebagai ‘Admin’, saya ditugaskan untuk cari pemain baharu bagi menggantikan pemain yang telah menarik diri. Sebagai ganjaran, saya akan dapat pulangan tambahan,” ujarnya. Tambahnya lagi, dia mula menyedari menjadi mangsa penipuan ‘kutu extra’ pada November lalu apabila salah seorang daripada ‘Admin Jerung’ dikatakan memecah amanah sehingga menimbulkan pergaduhan dengan ibu kutu. “Bila dah bergaduh, ‘Admin Jerung’ ini mula pecah rahsia. Dia kata semua pemain sebenarnya telah ditipu, ini ‘kutu extra’ tetapi sebenarnya rolling money. “Kiranya tak ada pemain tarik diri pun, itu semua modus operandi ibu kutu untuk mempergunakan ‘Admin’ dan pemain demi keuntungan dia semata-mata. “Apabila tiada pemain baru, tak boleh nak rolling money, sebab itu pembayaran jadi terhenti dan ibu kutu sendiri lari,” katanya. Bercerita lanjut, Atul mengakui dia bersama beberapa ‘Admin’ lain kini tertekan apabila diasak dengan pelbagai soalan daripada pemain di bawah jagaan mereka sehingga ada yang mengugut untuk membuat laporan polis. “Bukan salah kami sebagai ‘Admin’. Kami sendiri menjadi mangsa keadaan dan dijadikan ‘kambing hitam’ oleh ibu kutu. Setiap ‘Admin’ perlu tanggung kerugian pemain sekitar RM7 juta, sepatutnya ini semua tanggungjawab ibu kutu untuk selesaikan bayaran,” luahnya. Dalam pada itu, seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Azura, 36, berkata, wang simpanannya berjumlah RM20,000 habis begitu sahaja apabila dia turut menjadi mangsa penipuan ‘kutu extra’. “Duit itu saya simpan untuk pergi haji, bila tahu ada ‘kutu extra’, saya berminat untuk sertai dengan tujuan menambah pendapatan. “Sekiranya saya labur RM20,000 untuk slot dua bulan, saya akan diberi pulangan tambahan sekitar RM6,000. Sedihnya, ada pemain sampai gadai emas untuk sertai slot ‘kutu extra’. “Siapa yang tidak suka, bila kita boleh buat simpanan kutu dengan pulangan hampir separuh dalam tempoh dua bulan sahaja. Akhirnya, saya berputih mata apabila duit tersebut kena tipu,” katanya. Dia menjelaskan, setakat ini terdapat seramai 100 pemain telah membuat laporan polis serta dalam proses mendapatkan khidmat peguam bagi mengendalikan kes penipuan ‘kutu extra’ tersebut. Sumber: Kosmo
|
mrsamz: Satu je nak
cakap..bodoh
aechae replied at 24-12-2022 11:06 AM
Kalau bab duit mmg kelabu mata gelap hati otak x function lah! Nama pn main kutu bodo gtu yg ingat b ...
shernazz replied at 24-12-2022 11:20 AM
Pastu masuk dalam.group persatuan peguam n pengguna dok tanya mcmana nak buat kalau ditipu
krustykrab replied at 24-12-2022 11:29 AM
Kdlau aku jd loyar tu aku akn cakap
Acik² semua balik rumah pakai telekung putih, ambik tali jeru ...
ADVERTISEMENT