Tukang masak yang mencipta resipi kari ayam tikka masala, Ahmed Aslam Ali meninggal dunia pada usianya 77 tahun. Ahmed mencipta sos yang diperbuat daripada puri tomato di restorannya Shish Mahal, pada 1970-an.
Anak saudaranya, Andleeb Ahmed berkata, Ahmed menghembuskan nafas terakhirnya pagi Isnin lalu. "Dia akan makan tengah hari di restorannya setiap hari. "Restoran itu adalah hidupnya. Tukang masak akan membuat kari untuknya. Saya tidak pasti sama ada dia sering makan ayam tikka masala," katanya. Andleeb berkata, bapa saudaranya seorang yang mementingkan kesempurnaan dan sangat bersemangat.
Dalam sesi temu bual dengan AFP pada 2009, Ahmed dilaporkan berkata, dia menghasilkan resipi untuk ayam tikka masala selepas seorang pelanggan mengadu ayam tikkanya terlalu kering. "Jadi ia mencetuskan idea untuk kami masak dengan sos yang mengandungi yogurt, krim, rempah ratus," katanya. Hidangan itu kemudiannya menjadi hidangan paling popular di restoran Britain. Ahmed berkata, ayam tikka masala disediakan mengikut cita rasa pelanggan di Barat. "Biasanya mereka tidak mengambil kari panas, sebab itu kami masak dengan yogurt dan krim," katanya. Penyokong kempen untuk melindungi hak cipta hidangan itu menunjukkan fakta, bekas menteri luar negeri, Robin Cook pernah menyifatkan ia sebahagian dalam budaya Britain. "Ayam tikka masala kini menjadi hidangan kebangsaan British yang sebenar, bukan saja kerana ia adalah yang paling popular, tetapi ia adalah gambaran sempurna tentang cara Britain menyerap dan menyesuaikan pengaruh luar," kata Cook dalam ucapan 2001 mengenai identiti Britain. Ahmed berasal dari wilayah Punjab di Pakistan, berpindah bersama keluarganya ke Glasgow semasa kecil sebelum membuka Shish Mahal di pinggir barat Glasgow pada 1964. Ahmed meninggalkan seorang isteri serta tiga anak lelaki dan dua anak perempuan. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT