Anggota Rabbani iaitu Azadan memaklumkan Konsert 25 Tahun Simfoni Kesyukuran Rabbani yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini berkemungkinan menjadi persembahan terakhir kumpulan nasyid popular berkenaan.
Azadan atau Azadan Abdul Aziz, 49, berkata, sekiranya mereka mahu mengadakan konsert pada masa hadapan ia mungkin diadakan bersempena sambutan jubli emas iaitu ulang tahun ke-50 iaitu dalam tempoh 25 tahun akan datang. "Kalau nak diikutkan sebelum ini, konsert Rabbani semuanya berkolaborasi dengan penyanyi atau kumpulan lain. Ini adalah kali pertama kami mengadakan konsert solo bersempena sambutan ke-25 Rabanni dalam industri muzik tempatan. "Mungkin ini konsert pertama dan terakhir Rabbani. Kalau nak anjur konsert seterusnya pun mungkin kena tunggu sambutan jubli emas pula... itu pun kalau umur kami semua panjang," katanya kepada mStar. Konsert berkenaan akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor dan merupakan kerjasama bersama Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Dalam pada itu, Azadan berharap peminat muzik nasyid dapat memberikan sokongan dengan membeli tiket yang kini masih lagi dijual. Tambahnya, peminat juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah menarik kerana setiap pembelian tiket disertakan dengan cabutan bertuah. "Saya berharap lebih ramai peminat yang akan datang menyaksikan konsert kami nanti. Peminat berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk pakej umrah dan percutian ke tempat-tempat menarik," ujarnya. Mengulas lanjut tentang konsert yang bakal diadakan, Azadan memberitahu mereka kini sedang giat membuat latihan bersama 25 pemain orkestra YWJ. Ketua kumpulan Rabbani itu memberitahu bakal mendendangkan 25 buah lagu popular mereka bersempena dengan sambutan jubli perak.
|
ADVERTISEMENT