Penduduk Beijing perlu membayar caj lebih mahal jika tidak mahu menunggu lama bagi pembakaran mayat waris yang maut akibat Covid-19.
Reuters dimaklumkan pekerja di dua rumah pembakaran mayat bahawa sejak hujung minggu lalu, terdapat peningkatan mendadak ahli keluarga yang mahu membakar mayat waris menyebabkan waktu menunggu lebih lama dan kelewatan. Justeru, pengawal keselamatan terpaksa dikerah ke rumah pembakaran mayat di Beijing minggu ini, di mana kelihatan barisan panjang keranda dan pekerja berpakaian hazmat membawa mayat, namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka mangsa Covid-19. Menurut seorang pekerja rumah mayat di Babaoshan, Beijing, dek lama menunggu, sesetengah penduduk mencari alternatif seperti meninggalkan keranda dan menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa mayat ke rumah pembakaran mayat.
Malah, ada pekerja membuat iklan menerusi aplikasi video Douyin, bahawa mereka boleh memotong barisan dan proses pendaftaran dengan bayaran tambahan 26,000 yuan (RM16,562) iaitu jauh lebih tinggi berbanding kos keseluruhan bagi upacara pengebumian atau pembakaran mayat yang biasa dikenakan secara pakej di bandar besar. Menurut laporan, tahap sebenar sejauh mana peningkatan ketara jangkitan Covid-19 sekarang dipengaruhi gelombang Covid-19 sedia ada belum lagi jelas. Manakala, kerajaan tempatan Beijing dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan sehingga kini belum mengulas mengenai peningkatan ketara dalam kematian di Beijing. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT