Seorang tukang tilik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menipu kakitangan kerajaan melibatkan wang berjumlah RM516,450.
Warga India N Prakash, 24, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan setelah pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu wanita berusia 59 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh mengubat penyakit dan menilik nasib. Tertuduh dengan curangnya mendorong Punitha menyerah wang berjumlah RM516,450 kepadanya yang mana, mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.
Prakash didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 23 Mac hingga 18 Oktober 2022 di No 20 Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda di sini. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta dikenakan denda. Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal memohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang tinggi terhadap tertuduh. Bagaimanapun, Mohd Harith menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri dua minggu sekali, setiap Isnin kepada pegawai penyiasat sehingga kes selesai. Kes ditangguh sehingga 31 Januari depan untuk serahan dokumen dan tertuduh diwakili peguam, R Kumarappan. Sebelum ini, media melaporkan seorang tukang tilik warga India diculik sekumpulan individu pada November lalu kerana didakwa berlaku unsur penipuan di antara kumpulan tersebut dengan tukang tilik berkenaan. Polis berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai di Kulim yang mana, ketika ditemui, mangsa berada di atas lantai dalam keadaan kakinya dirantai menggunakan rantai besi dan mengalami beberapa luka kecil dipercayai dipukul di bahagian kaki dan belakang badan. Tukang tilik tersebut didapati masuk ke negara ini pada tahun 2020 untuk mencari peluang perniagaan. Suspek yang terdiri daripada 20 individu telah menghubungi keluarga tukang tilik itu yang berada di negara asal dan meminta wang tebusan sebanyak RM700,000. Sumber: Sinar Harian |
ADVERTISEMENT