Malaysia masih ketinggalan dan gagal dalam melakukan pemetaan risiko bagi menghadapi bencana yang sistematik walaupun kerap berdepan dengan pelbagai malapetaka besar seperti banjir dan tanah runtuh hingga meragut banyak nyawa.
Ia berbeza dengan negara lain yang sudah melangkah ke hadapan dalam membuat persediaan menghadapi bencana bagi mengelakkan banyak nyawa melayang ekoran tragedi alam semulajadi yang berlaku. Kosmo! difahamkan, walaupun ada percubaan membuat pemetaan risiko sebelum ini, tetapi ia boleh diibaratkan seperti usaha yang tenggelam timbul dan belum dapat diaplikasi serta dilaksanakan sepenuhnya.
Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar berkata, program pemetaan kawasan berisiko tinggi amat penting di negara ini berdasarkan kekerapan kejadian bencana yang melanda negara dan keadaan cuaca yang tidak menentu sepanjang tahun. Katanya, kerajaan melalui agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) perlu menjadikan program pemetaan kawasan berpotensi bencana geologi sebagai program wajib pada setiap rancangan pembangunan negara. “Program ini perlu menyeluruh ke seluruh negara yang melibatkan bencana geologi termasuk tanah runtuh, aliran puing, kepala air, banjir lumpur dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. Tragedi melibatkan alam semulajadi seperti banjir dan tanah runtuh tidak dapat dielakkan tetapi kita dapat menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada rosak atau hilang dengan pelan yang bersistematik. Menurut Abd. Rasid, pemetaan risiko dapat menentukan sempadan risiko sekiranya berlaku sesuatu bencana seperti kawasan berisiko tinggi, sederhana atau rendah seterusnya menggariskan tindakan dan kawalan yang berbeza. Jelasnya, dalam menghasilkan persempadanan risiko itu, ia juga boleh dibantu oleh peralatan dan teknologi terkini seperti UAV Lidar, dron dan juga perisian simulasi yang boleh dilakukan oleh ahli geologi kejuruteraan profesional. Dalam pada itu, katanya, program pemetaan risiko seperti itu telah dilakukan secara sistematik di Hong Kong, Jepun, Taiwan dan beberapa negara Asia lain bagi menyelamatkan nyawa rakyat mereka. Malah, katanya, Eropah dan Amerika Syarikat lebih maju ke hadapan dalam persediaan menghadapi bencana dan juga Pengurusan Risiko Bencana yang hebat. “National Institute for Earth Science and Disaster (NIED) Jepun sebagai contoh menggunakan sains dan teknologi untuk membentuk masyarakat lebih berdaya tahan yang boleh hidup bersama bencana serta bersama-sama membantu kerajaan mengurangkan risiko bencana. “Namun begitu, JMG telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di kawasan yang telah dilanda bencana geologi seperti di Jerai dan Baling juga di beberapa lokasi ekorimba yang berpotensi untuk alami bencana,” ujarnya. Ketika ini, pelbagai aset telah digerakkan ke Pantai Timur ekoran bencana banjir yang semakin memburuk di kawasan tersebut. Situasi sama juga berlaku di lokasi tanah runtuh yang meragut 24 nyawa manakala sembilan lagi masih berada di bawah runtuhan di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor. Apa yang membuatkan ramai tertanya ialah meskipun telah banyak kali tragedi ini berlaku, namun masih tiada pelan atau perancangan yang lebih sistematik sebagai persediaan sebelum bencana melanda. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT