Washington: Disebabkan terlalu sedih, suami isteri di Amerika Syarikat tidak mengebumikan anak mereka berusia lapan tahun yang meninggal dunia, tiga bulan lalu.
Sebaliknya, Aleksander Kurmoyarov, 28, dan Mandie Miller, 33, menyimpan jasad kanak-kanak itu, malah turut membawa mayat perempuan mereka bersama-sama ketika mengembara di seluruh negara. Daily Star melaporkan, ia dilakukan kerana mereka mahu 'meluangkan lebih banyak masa' bersama anak perempuan mereka itu. Pasangan dari Airway Heights dekat Spokane, Washington itu ditahan polis di Mitchell, Dakota Selatan, baru-baru ini. Menurut polis, pasangan itu ditemukan di sebuah kediaman dengan van sewa diletakkan di luar yang ada keranda didalamnya.
CBC melaporkan, pasangan itu didakwa mengikut satu pertuduhan iaitu gagal memaklumkan kematian seorang kanak-kanak. Susulan itu, waran tangkap dikeluarkan kerana disyaki membunuh melalui penderaan tetapi butiran bila kanak-kanak itu meninggal dunia mempunyai percanggahan. "Ketika temu bual dengan Kurmoyarov, mereka menyatakan kanak-kanak itu meninggal dunia di Airway Heights sebelum Halloween 2022," kata Jabatan Polis Mitchell dalam satu kenyataan media. Sementara itu, Miller memberitahu penyiasat, anak perempuannya meninggal dunia pada 10 September lalu. Kurmoyarov dan Miller sebelum ini dikenali polis selepas mereka menerima notis daripada koroner di Davison County. Jabatan Polis Michigan (MPD) berkata, koroner memberitahu dihubungi individu yang menyatakan mereka dalam perjalanan dari Washington ke Pine Ridge bersama mayat anak perempuan dan pasangan itu ditemukan pada hari berikutnya. MPD berkata, mereka enggan mahu memberitahu pihak berkuasa mengenai niat mereka meluangkan lebih banyak masa bersama mayat anaknya kerana takut perkara itu menimbulkan masalah. Hasil siasatan mendapati kanak-kanak yang meninggal dunia itu adalah anak angkat Miller. Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT