Caliph Buskers merayu pihak penganjur 'show' (persembahan) yang disertai mereka pada 9 dan 10 Disember lalu di Pulau Pinang agar melunaskan bayaran RM10,000 seperti dijanjikan.
Pemain dram kumpulan itu, Fendy Adlun berkata semua ahli Caliph Buskers berserta kru mereka yang terbabit sama pada persembahan itu sangat memerlukan wang berkenaan. "Untuk dua hari persembahan, kami sepatutnya menerima bayaran yang sudah dipersetujui dengan penganjur sebanyak RM10,000. Namun, sehingga sekarang masih belum mendapat bayaran itu walaupun separuh daripadanya. "Pihak penganjur memberi pelbagai alasan penangguhan bayaran kepada kami, dan setakat ini tidak diselesaikan lagi. Kami (Caliph Buskers) sudah banyak bertolak ansur, jadi mohon bayarlah wang persembahan dijanjikan itu," katanya.
Fendy juga berkata, perkongsian dibuat di Instagram kumpulan, bukan berniat mahu mengeruhkan keadaan dengan pihak terbabit, namun sekadar meluahkan situasi dihadapi mereka. "Anggota Caliph Buskers ini insan 'istimewa'. Jadi, kami sangat memerlukan wang itu untuk menyara keluarga kerana pembabitan dalam karier seni adalah punca pendapatan kami. Ditambah, sekarang cuti sekolah dan kami pun nak bawa anak jalan-jalan juga. "Selain itu, kami sebenarnya sudah menolak beberapa undangan persembahan lain kerana mahu memenuhi 'show' penganjur terbabit. Apatah lagi, mereka berjanji untuk membayar kami selepas selesai membuat persembahan," katanya.
Ditanya kenapa Caliph Buskers tidak mengambil wang pendahuluan sebelum persembahan, Fendy berkata mungkin mereka terlalu berlembut dan akhirnya menjadi mangsa pihak berkenaan. Mengulas juga mengenai tindakan undang-undang, Fendy berkata Caliph Buskers masih dalam perbincangan lanjut untuk mengambil tindakan seterusnya. Katanya, kalau boleh biarlah dapat diselesaikan secara baik dan segera. Selain Fendy, Caliph Buskers dianggotai Azmi Saat sebagai vokalis, Zaki Ismail (pemain gitar bass) dan Nirwan Zainalabidin (pemain gitar).-CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|