Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 32 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas tuduhan melakukan hubungan seks dengan objek dan merogol anak saudaranya yang juga orang kurang upaya (OKU).
Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh yang berusia 42 tahun itu didapati bersalah terhadap empat pertuduhan berkenaan. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seks tanpa keizinan mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun tujuh bulan. Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama. Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah Marang antara November hingga Disember 2017.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376 (3) KK. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan serta 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua. Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan ketiga dan keempat. Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula semalam. Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahkan ia berjalan selepas tamat hukuman pertama dan kedua. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT