LONDON: Seorang ahli ekologi mencadangkan untuk mewujudkan sebuah `rizab alam semula jadi secara buatan’ menggunakan teknologi gelombang udara khas di permukaan Marikh.
Lapor Daily Mail, Paul Smith berkongsi idea futuristiknya mengenai rancangan manusia untuk menjelajah ke planet Marikh. Rizab alam itu akan menampilkan ekosistem buatan seluas 20.2 hektar dengan merangkumi pokok-pokok, tanah lembap, aliran udara dan tekanan atmosfera. Katanya, rizab alam itu akan berfungsi sebagai tempat perlindungan kepada manusia serta menyediakan makanan dan bahan mentah.
Smith yang juga pensyarah di jabatan kejuruteraan awam University Bristol mengemukakan idea tersebut sebagai alternatif kepada pembentukan (terraform) seluruh Marikh memandangkan proses itu mungkin mengambil masa sehingga 100 juta tahun. Selain turut mewujudkan sebuah kawasan subur yang mempunyai air (oasis), rizab alam itu juga akan memberikan rasa `hidup seperti di bumi’ kepada para angkasawan. Proses pembentukan Marikh sudah lama menjadi matlamat para saintis dan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang menyasarkan untuk menghantar manusia ke planet merah itu pada dekad akan datang. Smith mengutarakan cadangan itu dalam laporan kajiannya yang disiarkan dalam International Journal of Astrobiology. Tambah Smith, gelombang udara khas itu akan menampilkan pelindung bagi melindungi daripada sinaran ultraungu gelombang pendek, radiasi pengionan dan meteorit selain menyalurkan tekanan atmosfera yang positif. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT