Meskipun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah lebih dua minggu berakhir, namun bahang panas politik negara masih terus terasa.
Manakan tidak, keputusan pilihan raya menyaksikan tidak ada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan melalui majoriti mudah 112 kerusi, sekali gus mengubah landskap pembentukan kerajaan Malaysia. Ketidaktentuan dalam membentuk kerajaan itu turut memperlihatkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mengatur permuafakatan bagi memastikan sebuah kerajaan dapat ditubuhkan secepat mungkin. Negara tanpa sebuah kerajaan bukan sahaja tidak baik untuk ekonomi tetapi juga boleh merencatkan pelbagai agenda dan pelaksanaan pembangunan khususnya yang memerlukan kelulusan daripada jemaah menteri. Hasilnya, Kerajaan Perpaduan terpaksa dibentuk dan pastinya Perdana Menteri yang terpilih perlu membentuk pasukannya dalam memacu hala tuju dan gerak kerja khususnya mengotakan janji-janji semasa kempen pilihan raya.
Akibatnya juga, pihak yang gagal membentuk kerajaan meskipun memperoleh kemenangan yang agak besar berasa kecewa. Maka, terbitlah pelbagai dakwaan, kata nista yang tidak sepatutnya. Sebilangan amat berbahaya kerana berunsurkan perkauman dan sentimen keagamaan melampau. Perdebatan di media-media sosial begitu rancak dari pagi hingga ke dinihari. Hujah-hujah dan pelbagai dalil dikeluarkan. Tidak kurang sedutan video dan ucapan lama pemimpin diulang tayang semula. Semua itu dilakukan bagi memperlihatkan pemimpin tersebut seorang yang ‘cakap tidak serupa bikin’. Dulu cakap lain sekarang buat lain. Penulis dalam satu pertemuan baru-baru ini tersenyum sinis apabila ada mendengar seorang jentera parti mengeluh. “Kita sudah kena game,” katanya. Hakikatnya, jika tidak ada game itu bukan politik namanya. Politik bukan seperti sifir yang kita hafal sejak kecil 2 x 5 = 10 kerana keputusan akhir boleh menjadi apa sahaja yang di luar jangkaan. Malah, kata Setiausaha Agung Parti Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail, politik itu dinamik dan apa juga keputusan dan tindakan perlu fleksibel. Politik juga tiada erti kawan dan lawan yang sebenar-benarnya kerana pada bila-bila masa lawan jadi lawan dan lawan bertukar jadi kawan. Apa yang penting kata Saifuddin, dalam politik kena sabar seumpama berlari maraton. Mungkin kita berasa sudah berada di hadapan tetapi selagi belum sampai garisan penamat, usah diraikan lagi kejayaan. Pesaing boleh memintas pada bila-bila masa. Kesimpulannya, apa juga yang berlaku dalam politik hari ini, semua pihak perlu berlapang dada. Tidak ada parti yang boleh mendabik mereka mampu kekal berkuasa kerana apa sahaja boleh berlaku esok atau lusa. Kepada pemimpin dan penyokong parti yang berasa kalah, usah gundah-gulana. Selagi kita berada dalam dunia politik, game masih berlangsung. Semoga fenomena cuaca sejuk yang dijangka berterusan hingga Februari tahun depan menukar bahang politik negara agar lebih dingin dan menyamankan. -CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT