Impian pelakon, Arja Lee memiliki ijazah sarjana tercapai selepas muncul seorang daripada 6,067 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-24 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.
Arja atau nama sebenar Azharudin Ramli, 39, menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di bawah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan ( FMSP) dengan tesis berjudul "Mari Bermain Congkak: Suatu Aktiviti Didik Hibur Di Arja Art Academy." Arja Lee berkata, kejayaan yang dikecapi ini adalah bagi menunaikan impian dan hadiah kedua arwah ibu bapanya, Ramli Uteh dan Salmah Aziz. Katanya, dia redha dengan ketentuan Tuhan kerana sepatutnya kedua arwah bersamanya ketika meraikan kejayaan namun dia bersyukur kerana hari ini dia ditemani ahli keluarga.
"Saya gembira pengorbanan saya selama dua tahun menyambung pengajian berbaloi walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara serta pensyarah tahun pertama di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bahru, Kelantan. "Kejayaan saya memberi mesej yang jelas bahawa golongan selebiriti pun sebenarnya mampu berjaya dalam pendidikan dan boleh menjadi contoh dalam masyarakat," katanya.
|
ADVERTISEMENT