Usahawan Kim Kardashian dan bekas suaminya juga penyanyi rap Ye atau dulunya dikenali Kanye West sepakat mencapai kata persetujuan perceraian mereka, termasuk berkongsi hak penjagaan terhadap empat anak dan berbahagi harta.
Meskipun akan berkongsi menjaga anak-anak mereka yang berusia 3, 4, 6, dan 9 tahun, Kardashian akan menerima RM890,000 sebulan sebagai wang nafkah kerana anak-anak paling banyak menghabiskan masa bersamanya. Pasangan terbabit berkahwin pada 2014, sebelum Kardashian memfailkan permohonan cerai pada tahun lalu dengan alasan sudah tidak sehaluan selain gagal berdamai. Beberapa bulan kebelakangan ini, Ye mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk memutuskan jalinan kerjasama dengan jenama besar korporat. Dia turut menghentam selebriti lain secara terbuka.
Sehinggakan akaun Instagram dan Twitter miliknya turut disekat. Tidak ketinggalan, platform media sosial itu menurunkan beberapa hantarannya yang tidak berhemah. Butiran perjanjian penyelesaian cerai mereka turut didedahkan beberapa cawangan berita dengan menyebut Mahkamah Los Angeles sebagai sumber. Apapun, kesahihah dokumen terbabit belum dapat dipastikan. Antaranya, mereka selaku ibu bapa perlu setuju sekolah mana harus dihadiri anak-anak. Ia turut membabitkan perihal terapi, kaunseling dan aktiviti keagamaan, demikian laporan Post. Anak-anak juga tidak dibenarkan berada lebih 100 kilometer dari kediaman Kardashian di Hidden Hills, di sini sebelum mereka tamat belajar atau meniti usia 19 tahun. Ye bersetuju menyerahkan sebuah aset hartanah di Hidden Hills kepada Kardashian. Dia juga akan memegang hak milik kepada harta di Malibu dan Riverside, California, dan Harrison, Idaho. Jurucakap usahawan itu bagaimanapun menolak untuk memberi sebarang komen. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT