Pelajar berusia 12 tahun digantung sekolah gara-gara terlalu mengidolakan legenda Brazil, Ronaldo Nazario yang popular pada 2002.
The Sun melaporkan, Alfie Ransom diarah pulang dari Akademi Sirius West di Hull, England selepas dimaklumkan dia telah melanggar polisi sekolah dengan membuat potongan rambut mirip Ronaldo. Ramsom diarahkan untuk tidak kembali selagi tidak mencukur bahagian depan rambutnya. Ibunya, Emma Shaw, 32, menjelaskan anaknya itu kecewa dan menangis apabila diberitahu tidak boleh bersekolah gara-gara fesyen rambutnya.
“Alfie tidak mahu mengubah potongan rambutnya. Dia benar-benar kecewa apabila saya terpaksa memotong bahagian depan rambutnya sehingga menjadi botak. “Pada mulanya, dia berasa gembira dengan fesyen rambut Ronaldo kerana pemain Brazil itu adalah idolanya. “Anda boleh lihat betapa terujanya Alfie sehingga menaikkan semangatnya untuk menggayakan potongan rambut itu,” jelas Emma. Emma juga berang apabila insiden itu diperbesarkan sehingga anaknya kini dikatakan terlibat dengan masalah disiplin di sekolah. “Saya tidak percaya, hanya disebabkan rambut dia digantung sekolah dan dihantar pulang ke rumah. Bukannya dia menumbuk sesiapa. “Ada cikgu memanggilnya bodoh hanya disebabkan dia mahu merasai suasana Piala Dunia, apa yang salahnya?” soal Emma. Ronaldo mencukur rambutnya dan meninggalkan sedikit jambul di depan ketika final Piala Dunia 2002 yang menyaksikan dia membantu Brazil menjulang trofi kelima. Menurut Ronaldo, dia gembira kelihatan ‘hodoh’ bagi mengaburi lawannya kerana sedang bergelut dengan kecederaan kaki. Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT