Ampang Jaya: Polis sedang mengesan seorang wanita yang mendakwa dirogol selepas dia menghilangkan diri sebaik membuat laporan polis pada 5 November lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu turut tular di media sosial apabila polis mengesan satu ciapan dimuat pemilik Twitter berkaitan kejadian rogol jam 11 malam tadi. Menurutnya, mangsa berusia 20 tahun bekerja sebagai peniaga membuat laporan pada jam 7.39 malam di Balai Polis Kajang pada 5 November lalu, "Antara isi kandungan laporan berkenaan, mangsa mendakwa pada jam 10 malam, 11 Oktober lalu semasa berada di sebuah apartmen di Jalan Lee Woon Taman Zooview Ampang, mangsa dirogol tanpa sedar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas diberi minuman.
"Pihak polis dalam usaha mengesan mangsa yang menghilangkan diri selepas laporan polis dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini. Mohamad Farouk berkata, nombor telefon wanita itu gagal dihubungi sementara alamat yang diberi tidak wujud. "Dalam masa sama polis memohon pemilik Twitter berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan. "Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya. Bagaimanapun semakan di Twitter mendapati pemiliknya sudah memadam ciapan dibuatnya itu. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT