BAGHDAD: Lebihan masakan tertua di dunia ditemukan di sebuah kompleks gua di utara Iraq baru-baru ini, sekali gus memberi petunjuk baharu manusia purba Neanderthal mungkin penggemar makanan dan pandai memasak.
Lapor The Guardian, sisa-sisa cebisan makanan yang sudah terbakar berusia lebih 70,000 tahun ditemui dari tapak Gua Shanidar, sebuah kawasan kediaman masyarakat Neanderthal kira-kira 804 kilometer di pergunungan Zagros di utara Baghdad oleh pasukan pakar arkeologi dari England. “Penemuan kami adalah petunjuk pertama sebenar tentang cara masakan kompleks dan budaya makanan dalam kalangan masyarakat purba Neanderthal,” kata Pakar Paleoekologi Budaya Universiti John Moore Liverpool, Prof. Chris Hunt yang menyelaraskan penggalian berkenaan.
Malah Hunt dan rakan-rakannya turut cuba mencipta semula satu daripada resipi menggunakan bijirin yang dikumpulkan dari gua berhampiran. “Ia menghasilkan sejenis pankek atau roti yang sememangnya sangat sedap dengan sedikit rasa kekacang,” kata Hunt. Pasukan itu juga menggunakan mikroskop elektron pengimbasan untuk menganalisis serpihan makanan hangus purba yang ditemukan dari Gua Franchthi di selatan Greece yang diduduki oleh manusia moden awal kira-kira 12,000 tahun lalu. Secara keseluruhan, penemuan ini mencadangkan diet di zaman Palaeolitik adalah pelbagai dan mereka mempunyai teknik memasak prasejarah yang kompleks melibatkan beberapa langkah penyediaan makanan. “Kami membentangkan bukti untuk kali pertama merendam dan menumbuk bijirin oleh kedua-dua masyarakat Neanderthal dan manusia moden awal yang disebut Homo sapiens di kedua-dua tapak, dan semasa kedua-dua fasa di Gua Shanidar. “Kami juga menemukan bukti campuran bijirin yang dimasukkan dalam bahan makanan dan berpendapat bahawa terdapat beberapa pilihan unik untuk perisa tumbuhan tertentu,” kata Ahli Arkeologi Universiti Liverpool, Dr. Ceren Kabukcu yang mengetuai kajian itu. -CARI Sumber: Utusan Online
|
tumpanglalu74: Tak hancor jadi debu ke?
ADVERTISEMENT