Dua pesawat era Perang Dunia Kedua (WWII) bertembung semasa satu pertunjukan udara di bandar raya Dallas kemarin, kata pihak berkuasa aviasi Amerika Syarikat, lapor AFP.
Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA) berkata, masih tidak jelas berapa ramai berada di dalam dua pesawat berkenaan iaitu sebuah Boeing B-17 ‘Kubu Terbang’ dan kapal terbang lebih kecil jenis Bell P-63 Kingcobra. Juga tidak jelas adalah sama ada terdapat mangsa terselamat dalam nahas udara itu yang berlaku awal tengah hari semasa Pertunjukan Udara Dallas di Lapangan Terbang Eksekutif Dallas.
Bagaimanapun, berbilang video yang disiarkan di media sosial menunjukkan senario dramatik kapal terbang lebih kecil itu terbang laju dan melanggar pesawat B-17 ketika kedua-duanya terbang ke arah kiri. Kedua-dua pesawat itu berkecai selepas pelanggaran sebelum terhempas ke tanah dan meletup. Menurut FAA, ejennya dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional akan menyiasat kemalangan terbabit. B-17 merupakan pesawat pengebom empat enjin yang memainkan peranan utama dalam memenangi perang udara ke atas Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Mempunyai reputasi tahan lasak, B-17 adalah antara pesawat pengebom yang paling banyak di bina dalam sejarah. P-63 Kingcobra pula merupakan pesawat tempur yang dibina semasa perang sama oleh Bell Aircraft tetapi hanya digunakan dalam pertempuran oleh Tentera Udara Kesatuan Soviet. Satu lagi nahas udara membabitkan B-17 adalah pada 2 Oktober 2019 apabila tujuh orang terbunuh dalam kemalangan yang berlaku di Windsor Locks, Connecticut. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT