Kumpulan penggodam yang mencuri rekod perubatan sebuah syarikat penjagaan kesihatan utama di Australia menuntut wang tebusan AS$10 juta (RM47 juta) atau sekitar satu dolar bagi setiap mangsa, bagi mengelak mereka membocorkan maklumat sulit pelanggan.
Awal minggu ini firma Medibank mengesahkan penggodam terbabit mencuri maklumat kesihatan milik 9.7 juta pelanggannya termasuk maklumat kesihatan Perdana Menteri, Anthony Albanese, lapor AFP. Segelintir maklumat sulit itu didedahkan kumpulan penggodam berkenaan kelmarin, merangkumi ‘senarai nakal’ mereka yang menjalani rawatan untuk ketagihan dadah, penyalahgunaan alkohol dan HIV.
Medibank turut mengesahkan bahawa ‘fail tambahan’, yang dipercayai mengandungi data pelanggan, telah dimuat naik dalam forum web gelap selama semalaman. Kumpulan penggodam itu menggunakan forum sama untuk memperincikan permintaan wang tebusan mereka. “Masyarakat bertanya kepada kami tentang wang tebusan, ia adalah AS$10 juta. “Kami memberikan diskaun, jadi jumlah yang diminta adalah AS$1 (RM4.71) untuk seorang pelanggan,” kata seorang penggodam misteri yang menyiarkan tuntutan mereka di forum itu. Difahamkan, Medibank telah berulang kali enggan membayar wang kepada kumpulan penggodam berkenaan. “Pendedahan data yang dicuri di web gelap adalah memalukan,” kata Ketua Eksekutif Medibank, David Koczkar kelmarin. Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri, Clare O’Neil menyelar kumpulan penggodam itu sebagai ‘keparat’. “Sukar untuk saya katakan betapa jijiknya saya terhadap ‘keparat’ yang menjadi dalang perbuatan jenayah ini,” katanya kepada Parlimen pada Selasa. Medibank merupakan syarikat insurans kesihatan swasta terbesar di Australia dan insiden penggodaman itu berkemungkinan melibatkan data kesihatan beberapa individu paling berpengaruh dan kaya di negara itu. Kumpulan penggodam itu sebelum ini mengancam untuk menjual data 1,000 warga Australia berprofil tinggi jika syarikat tidak membayar wang tebusan yang diminta. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT