Seorang remaja lelaki Thailand dikecam hebat selepas memberitahu bahawa dia bebas dari pertuduhan membunuh seorang budak lelaki kerana keluarganya kaya dan berkuasa, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Remaja dikenali sebagai Dome, 18, membunuh Fluck, 14, dan berlagak mengenainya di laman Twitter membuat netizen berang kerana tanda pagar ‘#18 tahun bunuh kanak-kanak 14 tahun’ menjadi tular di laman sosial itu. Kematian Fluck berlaku pada 3 November lalu pada pukul 12.20 tengah hari (waktu tempatan) di rumah mangsa yang terletak di kampung Saen Sook, daerah Meung.
Keluarga Fluck memberitahu saluran televisyen Channel 3 bahawa Dome dan seorang lagi remaja melawat rumah mereka dan mahu bercakap di luar. Tindakan Fluck yang enggan keluar untuk bercakap menyebabkan Dome marah lalu memasuki rumah itu dan memukul kepala mangsa menggunakan wayar elektrik yang putus. Keluarga Fluck cuba meleraikan pergaduhan itu, namun mangsa jatuh ke lantai dan diserang sawan. Dia dihantar ke hospital sebelum meninggal dunia selepas empat hari dirawat dan pihak hospital merekodkan punca kematiannya sebagai pendarahan subdural akut. Dome ditahan selepas kejadian itu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 20,000 baht (RM2,548). Netizen Thailand berang kerana Dome menyiarkan mesej di Facebook yang tidak memaparkan kekesalan dan tidak mempedulikan undang-undang. Dia juga menyiarkan gambar dan video menghadiri sebuah parti dan acara Loy Krathong bersama rakan selepas diikat jamin. Akhbar Khaosod melaporkan, keluarga Dome menegaskan bahawa mereka tidak menyelamatkannya, sambil menambah, anak mereka tidak menyiarkan apa-apa di media sosial kerana berada dalam tahanan polis. Keluarga itu juga berkata bahawa mereka tidak campur tangan dalam siasatan polis dan Dome diselamatkan atas keputusan mahkamah. Dome juga tidak didakwa mengikut undang-undang Thailand atas pembabitan dalam kematian seorang remaja lelaki lain dan kekal bebas. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT