Perkataan dayus memberikan impak besar terhadap lelaki selain ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya, kata Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Mohd Izhar berkata demikian susulan kenyataan pendakwah bebas Siti Afifah Shahbudin mengenai suami yang membiarkan isteri bersalin disambut doktor lelaki sebagai dayus terus hangat dan menjadi perdebatan dalam kalangan warganet. "Ingin dijelaskan perkataan dayus itu sangat besar impaknya kepada lelaki di akhirat kelak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, seseorang lelaki yang bergelar dayus tidak akan masuk syurga Allah SWT. Jadi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan perkataan dayus itu kepada mana-mana lelaki kecuali selepas dia menepati kriteria dayus yang ditetapkan oleh Islam. "Terdapat beberapa garis panduan atau ciri-ciri lelaki dayus yang ditetapkan oleh ulama. Pertama, seorang suami membiarkan isteri melakukan maksiat secara terbuka dan secara zahir tanpa ditegur, marah atau nasihat. Si suami akur dengan maksiat dibuat oleh si isteri itu.
"Kedua, suami membiarkan isteri melakukan perkara haram di depannya. Sebagai contoh, keluar, bercium, berfoya-foya dengan lelaki lain, tapi si suami hanya membiarkan. Itu adalah lelaki dayus yang tidak akan masuk syurga Allah kerana tidak memiliki sifat kepimpinan dalam keluarga. "Ketiga, suami membiarkan isterinya membuka dan menonjolkan aurat di hadapan lelaki yang bukan mahram secara terang-terangan. Tapi, dia pula yang mengarahkan isteri tidak tutup aurat. "Keempat, suami yang tidak memberi nafkah yang wajib kepada anak dan isteri. Membiarkan anak dan isteri susah, tidak mempunyai hak terhadap duitnya, anak nak belajar tak diberikan hak belajar. Ini dikategorikan lelaki zalim dan dayus," katanya. Menurutnya, perbuatan menghukum seperti itu adalah tidak betul dan tidak beretika dalam prinsip penentuan sesuatu hukum dalam Islam. "Jadi, jika dilihat kepada ciri-ciri yang disebutkan oleh ulama itu, boleh dikatakan bahawa suami yang membiarkan isterinya bersalin di hadapan atau disambut oleh doktor lelaki adalah tidak wajar dikatakan dayus. Apatah lagi semua tahu bahawa hospital kerajaan, pesakit akan dirawat oleh doktor yang bertugas ketika itu. Sekiranya yang bertugas itu doktor lelaki, maka suami tiada pilihan. "Jika kebetulan doktor itu perempuan, maka itu satu kelebihan untuk isterinya. Namun tidak semua bernasib baik mendapat doktor perempuan kerana doktor yang bertugas amat terhad. Isu ini berbeza di hospital swasta yang pastinya pesakit mampu memilih doktor perempuan yang diinginkan. Tapi tidak semua suami mampu untuk berbelanja di hospital swasta. "Justeru, kita tidak boleh hendak menjatuhkan hukum dayus dengan mudah kepada suami yang menghantar isteri bersalin di hospital kerajaan dalam keadaan dia memang tidak mampu untuk ke hospital swasta," katanya. Pada masa sama, Mohd Izhar juga berkata, tidak ada dalil daripada Nabi SAW yang mengatakan bahawa bersalaman dengan artis akan mengurangkan roh, pahala, melemahkan roh atau sebagainya. "Bahkan Nabi SAW bersalaman dengan penyembah berhala, Yahudi dan Nasrani yang mana ke semua mereka belum Islam. Selepas bersalaman, Nabi duduk dan berdakwah, akhirnya mereka masuk Islam. Ini kan pula bersalaman dengan artis Muslim dan Muslimah. "Bersalaman dengan mereka dengan niat berbaik dan mengajak ke arah kebaikan, maka perbuatan itu tidak akan mengurangkan pahala, kekuatan roh dan sebagainya. Sebaliknya ia dapat mengeratkan silaturahim. Jadi, jangan cepat hina golongan artis, kerana mereka juga beragama Islam, sembahyang, puasa, pergi haji, umrah dan sebagainya. "Cuma, mungkin ada perkara yang salah di sisi mereka yang perlu ditegur secara baik. Ini tanggungjawab kita menegur mereka dengan akhlak sebagai seorang Islam dan orang yang ada ilmu untuk berdakwah," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
kakikuDibibirmu replied at 10-11-2022 04:43 PM
Tak dapat masuk syurga tak apa, yang penting masuk Jannah
renko replied at 10-11-2022 05:50 PM
yang penting masuk labour room doctor wanita
ADVERTISEMENT