New Delhi: Seorang bayi perempuan di India dilahirkan dengan lapan embrio di dalam perutnya. Bayi itu dilahirkan di sebuah hospital swasta di daerah Ramgarh, Jharkhand, India pada 10 Oktober lalu.
Mirror melaporkan, ibu bapanya dilaporkan membawanya ke hospital kerana bimbang dia menghidap tumor akibat perutnya yang membengkak secara tidak normal. Doktor memindahkan bayi itu ke Hospital dan Pusat Penyelidikan Kanak-kanak Rani di bandar Ranchi berikutan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) berkemungkinan dia menghidap tumor.
Bagaimanapun, tumor itu disahkan fetus-in-fetu (FIF). Ia satu keadaan yang jarang berlaku yang mana satu atau lebih janin vertebrata cacat dimasukkan ke dalam badan adik-beradik mereka. Sebanyak lapan embrio yang belum berkembang ditemui di dalam perut bayi itu. Ia dipercayai jumlah tertinggi yang pernah ditemui pada bayi yang baru lahir. Dr Mohammed Imran mengesahkan pembedahan mengeluarkan embrio tidak matang itu berjaya dalam tempoh satu setengah jam. Bayi perempuan yang belum dikenal pasti itu kini semakin pulih dan dikatakan berada dalam keadaan baik. Kes sedemikian dianggap sangat jarang berlaku dan ia hanya berlaku kurang daripada satu dalam setiap sejuta kelahiran. Hanya 200 kes kecacatan yang luar biasa jarang berlaku pernah direkodkan. Media tempatan melaporkan, kes sebelum ini hanya melihat dua atau tiga embrio dikeluarkan daripada bayi yang baru lahir, dan tidak pernah sebanyak lapan. Fetus-in-fetus disebabkan oleh pemisahan yang tidak lengkap kembar, yang gagal membesar dan sebaliknya menjadi bahagian dalaman kembar yang sihat. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT