"Usikan calon menantu, malah ada juga yang mengusik untuk dijadikan calon isterilah dan bagi saya, itu biasa dan tiada masalah pun yang berlaku pada saya setakat proses kempen saya ini."
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie, 28, tidak pernah mengambil hati dengan usikan 'nakal' masyarakat di Parlimen Arau tatkala keluar berkempen. Bagi gadis yang mempunyai kelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya itu, ia adalah kebiasaan yang berlaku pada calon wanita yang akan bertanding dalam pilihan raya umum, sepertinya. "Kita orang Malaysia memang suka usik-mengusik dan bergurau tetapi apa pun saya menghormati mereka kerana menerima kehadiran saya di Parlimen Arau ini untuk berkempen," katanya ketika ditemui ketika sesi kempen di Kampung Behor Gelam di Tambun Tulang, semalam.
Katanya, menjelang 12 hari sebelum hari pengundian, sudah tentu memberikan tekanan yang berbeza apatah lagi ini adalah percubaannya pertama dalam arena politik. "Jika ditanya mengenai tekanan, bohonglah jika saya kata tiada tekanan kerana tekanan pada waktu ini datang dalam pelbagai aspek seperti kepenatan dan banyak kerja yang perlu dilakukan. Tetapi bagaimanapun, kita kena kuat untuk lancarkan kempen pilihan raya ini. "Jangkaan daripada parti sudah tentulah apabila kita bertanding, siapa yang tidak mahu menang kan tetapi hakikatnya menang dan kalah itu adalah adat pertandingan, jadi semuanya sudah ditentukan oleh Allah. Hanya kita tinggal berusaha sahaja. "Namun, dari segi tekanan, Alhamdulillah, saya mampu menguruskan lagi tekanan kerana meskipun tekanan melanda, kita kena bangkit terutamanya saya yang akan berhadapan dengan tokoh besar dalam politik di Parlimen Arau ini," katanya. Sumber: Harian Metro |
pyropura: Perlis ni sepatutnya ada 1 ker ...
ADVERTISEMENT