Nama Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu gara-gara tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Baru-baru ini namanya sekali lagi menjadi tular di media sosial tapi bukan kerana isu politik, sebaliknya susulan perkongsian lucu seorang pengguna Twitter. Ia gara-gara pengguna tersebut, @opsiqs membalas satu ciapan daripada Astro Awani yang memaparkan video Noh melahirkan rasa sedih kerana 'diketepikan' oleh parti pada kali ini. "Saya lagi kesian pakai nombor lama (Tan Sri) Noh Omar, tak pasal-pasal la semua orang dia (penyokong) WhatsApp saya. Wahai @mynohomar silalah update yang anda dah tukar number. Aku semak," tulisnya.
Pengguna tersebut turut memuat naik beberapa gambar tangkapan skrin (screenshot) kiriman mesej yang diterimanya di WhatsApp daripada individu yang dikatakan kenalan atau penyokong kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu, sebagai bukti. Namun apa yang lebih melucukan, pengguna tersebut sempat membalas kiriman mesej-mesej berkenaan dengan melakukan 'prank' kepada pengirim, sebelum meminta maaf atas gurauannya dan memberitahu perkara sebenar bahawa mereka tersalah nombor telefon. "@mynohomar update please, siang malam orang anda call dan WhatsApp. Aku serabut ingatkan crush text rupanya orang nak cari Noh Omar," tulisnya lagi. Bagaimanapun ada segelintir netizen yang membuat pelbagai andaian dan meragui perkongsian pengguna berkenaan. Malah seorang pengguna Twitter yang lain iaitu @ikhwan_noh, dipercayai anak kepada pemimpin berkenaan, turut membalas ciapan pengguna tersebut. "Hello, nak tahu tu number mana eh. Tan Sri ada banyak number," tulis @ikhwan_noh. "Boleh send je tweet saya tadi dekat abah awak, terus bagitahu dorang suruh stop invite dalam group, call, WhatsApp saya... terima kasih," balas pengguna berkenaan. Dia turut memuat naik tangkapan skrin daripada aplikasi 'getcontact' sebagai bukti, yang memaparkan nombornya disimpan dengan nama pemimpin BN itu. "Tengoklah sendiri dekat getcontact... memang ramai save number saya ni Noh Omar. Dah enam tahun saya pakai number ni, lagi-lagi musim PRU memang orang asyik cari dia," tulisnya lagi. Ciapannya sehingga kini meraih lebih 900 ulang kicau, selain dibanjiri dengan komen lucu netizen yang geli hati membaca balasan mesej 'prank' di WhatsApp. "Allahu saya tak tahulah nak rasa sedih ke atau nak ketawa. "All the best sis. Bertabahlah for the next two weeks! "Kesian tapi kelakar," demikian antara komen netizen. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT