CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Cleopatra, Dr Nurul Ashikin Dan Young Syefura- Muda Jelita, Pakej Lengkap Jadi Wakil Rakyat

7-11-2022 09:46 AM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 1033| Komen: 0

Kuala Lumpur: Kehadiran beberapa muka 'segar' dalam kalangan calon wanita muda dan jelita bagi merebut kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), antara yang mencuri tumpuan masyarakat dan warganet.


Mereka bukan saja memiliki penampilan fizikal menarik malah turut memiliki taraf pendidikan tinggi hingga digelar beauty with brain.

Malah keberanian mereka mencabar calon 'otai' kalangan ahli politik berpengalaman turut mencetuskan kekaguman.


Foto: Harian Metro

Ramai menyifatkan mereka ini memiliki pakej lengkap menjadi wakil rakyat selain diharapkan mampu membawa Malaysia ke arah negara lebih maju, berwawasan dan terbaik bermodalkan idea orang muda.


Antara calon wanita yang mencuri tumpuan usai penamaan calon parlimen PRU-15 diadakan kelmarin adalah Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau dikenali sebagai Cleo (Bebas - Parlimen Batu), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang – Parlimen Ampang), Nurul Fadzilah Kamaluddin (Perikatan Nasional – Parlimen Setiawangsa), Young Syefura Othman (DAP – Parlimen Bentong), Felicia Wong (BN/MCA – Parlimen Seremban) dan Jo-anna Sue Henley Rampas (Warisan - Parlimen Tuaran).

Calon Bebas Parlimen Batu, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 28, atau dikenali sebagai Cleo berkata, tarikan rupa parasnya yang didakwa menjadikan modal berkempen hanyalah pandang sempit segelintir pihak.

"Tidak semestinya wajah boleh menambah nilai dalam apa jua perkara. Apa yang penting adalah kebijaksanaan, akhlak dan juga prinsip mahu dibawa," katanya.

Nur Fathiah yang juga Pengarah Syarikat Raffles Force (Malaysia) Sdn Bhd berkata, apa yang paling penting selain kecantikan yang menjadi perhatian adalah misi dan visi mahu dibawa dalam usaha menawan hati pengundi muda.

"Ramai yang ingin tahu dan mungkin tidak tahu bahawa saya berulang alik ke Parlimen Batu setiap hari kerana saya mempunyai pejabat di sini. Sudah tentu saya perasan perkara dan mempunyai idea yang hebat untuk memperbaiki keadaan di Parlimen ini.

"Saya ingin melihat Parlimen Batu menjadi bandar contoh yang dilengkapi dengan Artificial Intelligence (AI) terbaik dan moden. Saya akan bekerja keras untuk memperbaiki keadaan hidup masyarakat di sini dan menjadikan Parlimen Batu sebagai Kuala Lumpur mini. Tidak seperti calon lain, saya akan menunaikan janji ini.

"Perancangan segera saya adalah untuk menangani isu komuniti, peniaga tempatan, meningkatkan kesalinghubungan bas pengantara ke kawasan terpencil, isu parkir dan kesesakan di sekitar flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan banyak lagi. Selepas itu tumpuan saya seterusnya adalah untuk meningkatkan ketajaman ekonomi," katanya.

Sementara itu Dr Nurul Ashikin Mabahwi, 33, yang juga lulusan Doktor Falsafah (PhD) Regional Environment Systems, Shibaura Institute of Technology, Jepun, berkata, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

"Jika ada yang memuji rupa paras dan menyifatkannya sebagai modal 'tambah nilai' dalam menarik undi, saya menerimanya dan bersyukur, alhamdulillah. Setiap calon mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

"Oleh itu pengundi harus bijak menilai setiap calon bertanding, tidak kira dari segi pendidikan, latar belakang mahupun daya tarikan fizikal. Paling utama setiap calon mampu memberikan khidmat terbaik dan menyelesaikan isu setempat," katanya.

Dr Nurul Ashikin yang juga Ketua Pejuanita Muda Malaysia memberitahu terdapat empat manifesto mahu diketengahkan untuk memenangi hati pengundi terutama pengundi muda.

"Menerusi misi 'Ampang Pasti Berjaya'. Ada empat perkara dalam manifesto inklusif bagi semua. Pertama, pembaharuan pengurusan bencana alam dan penambahbaikan alam sekitar lebih tersusun dan berkesan di dalam kawasan Parlimen Ampang.

"Kedua, pembangunan ekonomi setempat dan penjanaan peluang pekerjaan yang lebih efektif untuk warga Ampang khususnya anak muda. Seterusnya, penyediaan program kebajikan dan keselesaan komuniti yang lebih mampan untuk warga Ampang.

"Terakhir, inisiatif pembangunan 'smart township planning' yang mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan penduduk Ampang," katanya.

Sementara itu calon Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie, 28, berkata, nilai terdapat pada dirinya jauh lebih besar berbanding soal kecantikan dan pendidikan dimiliki.

"Kalau nak bercakap soal ini (kecantikan fizikal), saya lebih suka dikenali sebagai individu gemar berkhidmat kepada masyarakat. Saya jenis yang suka turun padang dan membabitkan diri dalam aktiviti sukarelawan.

"InsyaAllah, kalau diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat Parlimen Arau, banyak perancangan saya mahu lakukan," kata calon PhD Sosial dan Sains Kemanusiaan Universiti Malaya.

Beliau sebelum ini turut menawarkan kelas dan tuisyen percuma kepada anak-anak petani dan nelayan.

Sementara itu, Felicia Wong, 43, yang juga bekas pengetua sekolah beranggapan pemimpin wanita akan menghadapi pelbagai cabaran termasuk soal rupa paras dijadikan topik perbualan.

"Isu wajah sering dijadikan tumpuan hingga kemampuan atau kepakaran pemimpin wanita sering diketepikan. Jika diberi mandat oleh rakyat, saya akan menggunakan kelebihan pemimpin wanita yang lebih sabar, prihatin dan teliti dalam pengurusan dan pentadbiran pembangunan untuk Seremban yang saya sayangi.

"Faktor kecantikan tidak sepatutnya dijadikan sebagai penghalang atau kayu pengukur kejayaan. Malah, wanita juga boleh memikul tanggungjawab dan peranan yang penting dalam pelbagai bidang.

"Sebagai bekas pengetua dan kini sebagai ahli perniagaan, sudah tentulah pendidikan dan ekonomi menjadi minat saya. Oleh itu, saya berazam menjadikan pendidikan dan peningkatan ekonomi serta kebajikan rakyat Seremban sebagai perjuangan utama," katanya. -CARI

Sumber: Harian Metro

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-11-2024 03:31 PM GMT+8 , Processed in 0.053558 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top