CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Zuraida Akan ‘Berkubur’ Kalau Masih Nak Pertahan Ampang Pada PRU-15

3-11-2022 04:51 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 1002| Komen: 2

Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin akan ‘berkubur’ sekiranya masih berhasrat mempertahankan kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, ia berikutan Parlimen Ampang merupakan kubu kuat PKR yang tidak pernah berjaya dirampas Barisan Nasional (BN) atau gabungan lain.


IG Zuraida

Menurut beliau, kemenangan Zuraida pada PRU-14 adalah disebabkan kekuatan akar umbi PKR dan bukan bersandar kepada kekuatan figura itu yang popular dalam memikat hati rakyat, satu ketika dahulu.

“Rodziah Ismail atau sesiapa sahaja calon PKR bertanding di Ampang boleh menang berikutan ia merupakan kawasan selamat dan kubu kuat bagi PKR sejak tiga penggal lalu, dan BN sehingga sekarang sukar untuk menawan kawasan terbabit.

“Parti adalah faktornya, bukan Zuraida. Berdasarkan PRU lalu, Ampang ini merupakan kawasan bercampur (kaum) di bandar yang kebiasaannya akan terus didominasi Pakatan Harapan (PH), walaupun majoriti undian sedikit berkurangan. Malah, Rodziah sendiri merupakan orang lama dalam PKR,” katanya ketika dihubungi Getaran, hari ini.

Rodziah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga akan menjadi sandaran PKR untuk mencabar Zuraida pada PRU-15.

Zuraida pada PRU-14 menang di kerusi berkenaan atas tiket PH, namun menyertai kumpulan Azmin untuk meninggalkan PKR pada Februari 2020. 

Beliau kemudian menyertai BERSATU dan kini mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM), sebelum keahliannya digantung serta-merta minggu lalu.

Dr Jamaie Hamil

Mengulas lanjut, Jamaie berkata, pengundi di Parlimen Ampang sudah pastinya akan menghukum Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu kerana mengkhianati PKR, sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan PH. 

“Itu merupakan kawasan selamat PKR seperti juga Parlimen Pandan, sebab itu kali ini Rafizi masih bertanding di situ. Seharusnya kalau beliau mahu wujudkan persaingan yang hebat, dia mencalonkan diri seperti di Bagan Datuk tetapi Pandan serta Ampang adalah kubu kuat dan dilihat tidak berkesan untuk mengubah landskap politik,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik UKM berkata, tidak sewajarnya kemelut jawatan Presiden PBM antara Zuraida dan Datuk Larry Sng berlaku menjelang PRU-15.

Jelasnya, permasalahan dalaman itu perlu diselesaikan dengan kadar segera kerana mampu menjadi peluru parti lawan ketika berkempen demi mengelakkan PBM menjadi pilihan rakyat.

“Loceng telah ditekan, sepatutnya isu seperti itu tidak berlaku dan secara tidak langsung kerana PBM tiada akar umbi, kalau mereka bertanding pun untuk mereka menang sangat tipis.

“Lantaran itu, apabila pelbagai isu melanda Zuraida, maka pengundi melihat PBM tiada jati diri. Sekejap nak bertanding bergabung bersama BN, tiba-tiba nak bertanding solo.

“Kalau nak kembali kepada BERSATU atau PH pun, saya tak fikir mereka akan memberi ruang sebab pengundi ketika ini sedang bersedia untuk menghukum (Zuraida) kalaulah masih bertanding di Ampang,” katanya.


Dr Hussain Yusri Zawawi

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi pula berpandangan, tindakan Zuraida yang sering bertukar parti akan memberi kelebihan kepada Rodziah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Ampang pada PRU-15.

“Satu nafas baharu daripada PKR bagi memperbaiki kembali pemimpin yang akan mewakili PKR di Ampang. Antara dua calon ini, Zuraida ada masalah kerana terlalu banyak melompat, jadi rakyat sudah hilang kepercayaan dan risau dengan sikapnya walaupun beliau merupakan figura popular dan berpengalaman sebagai Menteri.

“Sikap tiada pendirian oleh Zuraida memberi impak besar kepada rakyat, mereka ini sekarang sudah berada di zaman teknologi yang membolehkan pengundi melihat, memerhati dan mendengar apa yang berlaku dalam konteks negara. Orang muda khususnya mahu melihat bagaimana calon itu memiliki kepimpinan berpaksikan pendirian,” katanya.

Hussain berkata, tindakan melompat parti dan pengkhianatan yang dicipta Zuraida sudah pastinya akan menumbangkan pemimpin terbabit walaupun langkah itu dilihat sebagai reformasi dalam politik.

“Berapa banyak parti dia nak tubuh menggunakan apa sekali jenama pun (tetapi) jika tiada pendirian, suka bertukar parti, rakyat mana yang mahu bersama dia. 

“Apa sahaja jasa besar dia untuk rakyat, isu terhadap beliau sedang dilihat pengundi ketika ini. Kalau bersendirian (tidak bersama mana-mana parti), dia tidak boleh ke mana kerana PBM ini kecil dan boleh dilihat tidak mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.


Sumber: Getaran






Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote akies 3-11-2022 05:01 PM
Bakalan kalah makcik ni
Quote kesempitan 17-11-2022 02:37 AM
semoga menjadi kenyataan

Lihat semua komen(2)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-10-2024 08:51 AM GMT+8 , Processed in 0.030249 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top