Pelakon berbakat besar, Nabila Huda memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik menerusi telefilem Jeti arahan Janna Nick.
Menerusi hantaran di Instagram Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi meluahkan rasa gembira dengan kemenangannya itu. Katanya, ia merupakan trofi Anugerah Seri Angkasa pertama diterimanya. “Dan pertama kali saya dapat trofi dan dapat duit belanja. Rezeki bulan ni memang mind blowing. Anjurkan konsert sold out, dapat pula dinobatkan sebagai pelakon pembantu terbaik. Syukur Alhamdulillah.
“Saya betul-betul minta maaf sebab tak dapat hadirkan diri untuk bersama-sama dengan semua orang untuk meraikan malam yang berprestij ini,” ujarnya yang tidak menyangka dirinya tercalon menerima anugerah berkenaan. Nabila yang memegang watak Zaiton dalam telefilem itu turut mengucapkan terima kasih kepada pelakon Janna Nick selaku pengarah dan pelakon terkenal, Fauziah Nawi atas kepercayaan untuk menjayakan telefilem tersebut. Dalam pada itu, Nabila juga menghargai semua yang menyokong perjalanan seninya dari mula sehingga kini dan bertekad tidak akan berhenti berlakon kerana terlalu sayang dengan karier seninya. “Saya nak anda semua tahu yang saya sangat cintakan profesion saya ini. Saya terlalu sayang kerjaya saya. Sampai saya mati pun saya takkan tinggalkan kerjaya saya. “Takkan saya berhenti menjadi seorang pelakon sampai bila-bila, takkan terjadi, saya akan sentiasa membuat perubahan lakonan saya sampai akhir hayat saya, Terima kasih,” tutup Nabila gembira. Untuk info, telefilem Jeti merupakan buah tangan pertama daripada pelakon terkenal, Janna Nick sebagai pengarah dibawah syarikat produksi beliau iaitu JN Studios & Entertainment. Telefilem Jeti disiarkan di TV3 sempena Hari Raya Kedua Aidilfitri, pada tahun lalu turut dibintangi pelakon lain seperti Fauziah Nawi, Fifi Laura, Jay Iswazir, Josiah Hogan dan Shyrim Husni. Sumber: Xtra |
ADVERTISEMENT