Hampir tiga tahun 'bertapa' mencari identiti muzik dirinya, ada hikmah di sebalik penantian Alyph. Bukan sekadar kenal dirinya sekarang, bahkan karyanya sudah cukup kukuh hala tujunya.
Alyph atau nama sebenarnya Alif Abdullah, 33, menyifatkan beberapa tahun kebelakangan ini begitu mencabar buatnya. Dia tercari-cari bunyi yang paling tepat untuk dirinya sebagai artis. Mana tidaknya, terdahulu dia lebih aktif menerbitkan lagu untuk penyanyi lain. Ketika itu, dia terpaksa ketepikan pencarian hala tuju muziknya demi memberi laluan berkarya untuk orang lain.
Justeru, tampil dengan lagu baharu berjudul Swipe memberikan kepuasan maksima buat anak jati Singapura ini. Katanya, kini dia yakin acuan tepat pada muziknya sudah ditemui dan pasti. "Saya makan masa dua hingga tiga tahun untuk mencari diri dan bunyi saya. Sebelum ini saya banyak buat lagu untuk orang lain dan saya pun sudah rasa kekok bila nak hasilkan lagu sendiri. "Pandemik Covid-19 jadi hikmah buat saya. Saya dapat teroka diri dan ada cuba hasilkan lagu trilogi yang sebenarnya cuma 'mixtape' kerana saya nak cuba bunyi saya saja," katanya. Alyph berkata proses teroka diri itu sentiasa berjalan sepanjang tempoh terbabit. Menurutnya, dia sebenarnya ada lagu lain yang cukup tepat dengan bunyinya sebelum memilih melancarkan Swipe.
"Bila saya dapat satu bunyi ini, sebenarnya bukan lagu Swipe tapi lagu lain. Daripada lagu itu, saya terus dapat ilham buat 15 lagu secara terus-menerus dalam jangka masa dua minggu. "Daripada jumlah itu, banyak perbincangan dibuat dengan label dan pengurusan yang mana satu perlu dilancarkan dulu. Akhirnya kami sepakat pilih Swipe," katanya. Menariknya, Alyph turut menampilkan usahawan Datuk Seri Vida atau DSV dalam lagu terbabit. Menurutnya, penampilan DSV berlaku tanpa dirancang dan itu juga punca Swipe ambil sedikit masa dilancarkan.
"Lagu Swipe sebenarnya pendek, cuma dua minit saja. Saya mahu bergandingan dengan orang lain tapi masih tercari-cari siapa paling tepat untuk lengkapkan lagu ini. "Apa yang saya buat, saya pergi cari di YouTube, filem, dokumentari, demi sepotong skrip yang gempak. Saya nak sesuatu yang menarik dan akhirnya macam-macam bunyi keluar. "Akhirnya saya jumpa satu klip yang ada suara milik DSV. Kebetulan, suara dialah yang paling sesuai. Label pun cadangkan suruh panggil saja dia dan cakap sesuatu yang mengenai lagu itu," katanya. Mengenali Alyph, ramai pasti tahu dia pengkarya yang cukup teliti dengan kerjanya. Sebaiknya, dia benar-benar jaga reputasi karyanya serta dengan siapa dia jalin kerjasama.
Lantas, penampilan DSV semestinya mencetuskan banyak persoalan. Adakah tahap kualiti karyanya akan dipertikai gara-gara menggunakan kelibat usahawan penuh kontroversi terbabit? Bagaimanapun, Alyph ada pendirian tersendiri dan dia yakin dengan cita rasa ditetapkan secara peribadi. Menurutnya, tujuan bekerjasama dengan DSV adalah untuk menghapuskan sentimen berkaitan 'melacurkan' industri. "Saya nak tunjukkan bahawa media sosial bukan semata-mata apa kita nampak. Kalau buat kerja (muzik) dengan cita rasa yang memikat, insya Allah hasilnya akan diterima orang dengan baik," katanya.
Alyph juga berpendapat ada baiknya menyogok peminat dengan sesuatu yang menarik perhatian secara pantas di media sosial. Apa saja yang tular pasti jadi tatapan sepantas kilat. Namun, dia boleh memilih jalan lain untuk cetus kontroversi tapi akhirnya memilih cara lebih bercita rasa tinggi. Dia yakin pemilihan DSV tepat dalam misi hapuskan sentimen sinis membabitkan individu sebegitu.
"Sekarang ramai orang buat benda yang mesti kena tular. Matlamat utama orang sekarang adalah tular di media sosial. Saya boleh sahaja nak buat kontroversi tanpa membabitkan Vida tapi saya memilih untuk tidak berbuat demikian. "Itu bukan sebab mengapa DSV ada dalam lagu ini. Ia boleh dilaksanakan dengan cita rasa tinggi. Dengan kerjasama ini, saya nak hancurkan sentimen terbabit sepenuhnya," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|