Pelakon Syafiq Kyle sedia maklum apabila menjayakan sesebuah watak aksi, seseorang pelakon itu mungkin terdedah kecederaan fizikal.
Demi filem Siku 12: Langkah Derhaka terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd, Syafiq mendedahkan dia mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan serta kepala benjol susulan terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang. Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 30, berkata, kecederaan kecil dialaminya dianggap sebagai hal lumrah, demi memberikan yang terbaik dalam watak yang diberikan. Malah, dia optimis untuk cabar diri, mengambil watak yang berbeza menerusi mana-mana naskhah.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dulu (PKP), saya memang menghabiskan masa bersenam dan berlatih di gimnasium. “Justeru, saya tiada masalah dari aspek stamina dan kecergasan untuk melakonkan babak pertarungan sebagai peninju dalam filem Siku 12: Langkah Derhaka itu,” katanya. Berkongsi cabaran sepanjang penggambaran, Syafiq turut ikuti sesi latihan bersama guru terlatih demi menjiwai watak. “Selain ada asas seni Muay Thai, saya juga berlatih dengan guru seni silat Siku 12 dari Pulau Pinang sebelum memulakan penggambaran. “Sudah namanya filem aksi, saya juga mengalami lebam-lebam di kaki dan tangan dan kepala juga benjol kerana terhantuk ketika menjayakan babak pertarungan di gelanggang,” ujarnya. Mengenai gandingan dengan Zahiril Adzim selaku teraju utama pula, kata Syafiq, ia kali pertama dia bekerjasama dengan pelakon senior itu. Antara cabaran lain, kata Syafiq, dia perlu menguasai dialek Kedah untuk menjiwai watak utama sebagai Atid dalam filem itu. Filem Siku 12: Langkah Derhaka yang baru sahaja ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober lalu mengisahkan konflik di antara dua sahabat iaitu Atid dan A-Wut yang tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah. Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai yang mana sebuah pertandingan turut dianjurkan selepas sesi padi dituai. Ia terbuka kepada peninju dari Thailand, setiap tahun. Bagaimanapun, dek kerana rasa iri hati dan sanggup mengkhianati, ia akhirnya telah menyebabkan hubungan persahabatan musnah. Apa kesudahannya, tonton filem Filem Siku 12: Langkah Derhaka di pawagam. Sumber: Media Hiburan |
ADVERTISEMENT