Anggota K-Clique iaitu Noki menafikan kumpulan itu sudah berpecah belah kerana dilihat jarang tampil membuat persembahan bersama.
Noki atau pemilik nama penuh, Ahmad Ikhwan Aji berkata, lebih rumit apabila kebanyakkan anggota K-Clique berada di Sabah manakala hanya dirinya dan MK saja menetap di ibu kota. "Noki dan K-Clique sentiasa bersama-sama cuma sekarang ini 'slow down' sikit kerana baru saja lepas pandemik. Malah, kami juga semua duduk jauh-jauh, bukan saja separuh tapi lebih dari separuh tinggal di Sabah. "Malah, tidak dinafikan keadaan ini sedikit rumit. Lagu memang mudah dihasilkan namun jika hendak 'shoot' muzik video memang sukar. Apatah lagi, MK pun sedang sibuk jalani penggambaran drama bersiri 40 episod.
"Saya juga sibuk merencana kerjaya seni ketika ini dan semuanya menyumbang kepada perkara ini. Apa yang boleh saya katakan, kami tiada sebarang masalah. "Kami akan keluar dengan lagu baru serentak dengan muzik video," kata Noki. Selain Noki dan MK, K-Clique turut dianggotai Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas yang semua kelahiran Kota Kinabalu, Sabah. Tambah Noki, mereka bertahan sehingga hari ini disebabkan persefahaman dan keunikan setiap anggota. "Kami berasal dari latar belakang hampir sama. Disebabkan itu, kami faham kesusahan dilalui masing-masing. Kami juga faham kemampuan dan keupayaan masing-masing. "K-Clique adalah kumpulan unik, kami mempunyai lapan anggota yang mempunyai karakter berbeza, gaya dan ketrampilan tersendiri. "Dari segi penyampaian pun semuanya ada kelainan. Jadi, K-Clique kekal bersahabat disebabkan kami adalah kami," kata Noki. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT