Pengarah dan penerbit, Rashid Sibir berpendapat isu pembayaran royalti perlu diteliti semula bukan sahaja untuk filem, tetapi juga drama tv.
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin bahawa kerajaan mahu meneliti semula isu pembayaran royalti kepada penggiat industri perfileman tanah air. Rashid ketika dihubungi berkata, kebanyakan drama diulang tayang berpuluh kali di tv selepas ia dijual kepada stesen tv. "Tidak cukup dengan itu, mereka tayang pula di platform seperti YouTube. Mereka dapat berjuta-juta pelanggan (subscribers) dan menjana pendapatan dari situ. Kami sebagai penerbit langsung tak dapat apa-apa.
"Jadi, saya menyeru agar kerajaan meneliti semula dan harus ada konsep menang dan menang untuk kedua-dua pihak," katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, isu royalti bukanlah isu baharu, bahkan sudah berlaku sejak era Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih berkarya. "Isu ini berlaku dalam negara kita sendiri dan sepatutnya kita boleh kawal. Kalau nak buat akta, dah lama patut buat. Tapi, apa pun, 'better late than never', biar lambat, tapi ada hasilnya," katanya. Selain itu, Rashid juga turut meminta kerajaan supaya meneliti semula cukai hiburan dan juga bayaran panggung wayang yang tinggi. "Cukai hiburan sebanyak 25 peratus dan bayaran kepada panggung wayang sebanyak 50 peratus juga perlu diteliti serta dinilai semula. "Jadi, kalau kerajaan benar-benar ambil berat, kami sebagai penggiat seni sangat berterima kasih. Namun, janganlah usaha ini putus di tengah jalan. Biarlah ia secara berterusan dan memberikan manfaat buat penggiat seni dari generasi ke generasi seterusnya," katanya. Sementara itu, pelakon veteran, Norlia Ghani menyambut baik usaha itu sekiranya akan ada sinar cerah buat nasib pelakon-pelakon dan penggiat filem. "Sebenarnya, isu royalti ini sudah disuarakan sejak sekian lama. Sekiranya ia dipandang dan diberi perhatian oleh kerajaan, saya sebagai anak seni menyambut baik," katanya. Menurutnya, walaupun drama dan filem lakonannya ditayangkan berulang kali, namun, tidak ada sebarang imbuhan buatnya. "Kalau penyanyi, lain kisahnya kerana mereka ada imbuhan dan penghargaan juga. Untuk pelakon, isu royalti ini masih lagi menjadi isu besar. "Karya-karya lakonan saya pun banyak yang ditayang semula. Namun, tak ada sebarang royalti. Kadang-kadang rasa macam orang tak pandang hasil kerja keras kita," katanya. Terdahulu, Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan itu ketika hadir di acara penutupan Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia yang berlangsung kelmarin. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT