Penerbit dan pengarah, Suhaimi Lua berpendapat keterbukaan stesen TV dalam isu pemilihan pelakon mampu meningkatkan kualiti sesebuah karya apabila barisan teraju produksi ditentukan berdasarkan kesesuaian skrip.
“Saya tidak mempunyai masalah tentang pemilihan pelakon kerana perkara itu boleh dibincangkan dengan stesen TV. Tetapi, saya pasti lebih gembira jika kami diberi kebebasan untuk memilih. “Keterbukaan itu penting kerana kriteria pemilihan pelakon adalah berdasarkan kehendak karakter dan skrip. Kita tidak boleh lihat hanya dari sudut populariti semata-mata. “Ada karakter yang kita tahu hanya pelakon tertentu yang boleh bawa. Ada pelakon yang kita letak sebagai teraju, tetapi tidak mempunyai aura. Sekadar popular tetapi tidak ada x-factor untuk menghidupkan watak,” katanya.
Suhaimi menambah, sekiranya pihak produksi boleh menentukan pelakon yang bersesuaian, pastinya bajet dalam menerbitkan sesebuah karya dapat disusun dengan baik menerusi perbincangan secara langsung antara kedua-dua pihak. “Ada segelintir pelakon apabila mendapat tahu stesen TV yang minta, terus letak harga mahal. Jika kita bebas memilih pelakon, kita boleh bincang harga yang sesuai, ia sekali gus boleh menyusun bajet sesebuah produksi,” katanya. Ditanya adakah kebebasan memilih pelakon itu akan mewujudkan isu favoritisme, Suhaimi secara peribadi berpendapat, keselesaan dan keserasian pelakon dengan produksi memudahkan kerja penggambaran. “Kalau pelakon itu senang bekerja, boleh bawa berbincang dan tidak mempunyai masalah disiplin, kenapa takut dengan isu favoritisme? Kita mahu penggambaran berjalan lancar. “Lebih senang bekerja dengan pelakon yang tahu menjaga disiplin dan tidak membebankan produksi dengan masalah tidak bersangkut paut dengan urusan kerja,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT