Seorang lelaki yang mengembara dari Madrid, Sepanyol ke Qatar yang hilang selepas melalui kawasan Kurdistan, Iraq dikhuatiri ditahan di Iran.
Peminat bola sepak, Santiago Sanchez Cogedor, 40, sedang melintasi wilayah Kurdistan Iraq sebagai sebahagian daripada misi kembaranya sempena Kejohanan Piala Dunia 2022. Seorang rakan baiknya, Miguel Bergado berkata, kali terakhir dia bercakap dengan Cogedor lebih dua minggu lalu iaitu pada 1 Oktober lalu. "Dia menghantar lokasinya kepada saya dan dia berada di Kurdistan, Iraq, lima kilometer dari sempadan Iran," katanya kepada akhbar Sepanyol, El Mundo.
Bergado berkata, dia bimbang nasib dan keselamatan rakannya itu. "Perasaan saya ialah kerana isu politik mereka boleh menahannya di Iran kerana dia orang asing. "Kedutaan Sepanyol di Iran mengatakan ada yang ditahan kerana mengambil gambar pergolakan dan mungkin itu juga puncanya," katanya. Cogedor yang meninggalkan pasukan tentera untuk mencuba nasib dalam bidang tinju sebelum menjadi jurulatih, memilih memasuki Iran selepas memutuskan untuk tidak cuba masuk melalui Arab Saudi. Catatan terakhirnya di Instagram pada 1 Oktober lalu memaklumkan, dia berada di kampung terakhir di utara Iraq.
|
ADVERTISEMENT