Kerajaan baharu yang bakal mengemudi negara selepas ini perlu membuat perubahan terhadap bidang pendidikan dengan merombak sistem sedia ada yang bercelaru.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem pendidikan ketika ini tidak menjamin peningkatan mutu yang baik. Malah, katanya, segelintir pemimpin juga tidak bersedia mendengar teguran, kritikan atau pandangan hujah balas dari guru, terutama di lapangan. “Apa kelemahan kita, (adalah) kita tak dapat mendengar dan tidak ada keupayaan untuk mendengar teguran, pandangan yang kritis.
“Kita doakan mudah-mudahan kalau ada perubahan pimpinan negara, sistem (pendidikan) ini mesti dirombak, (kerana ia) sistem yang celaru. “Saya masih ingat masa saya jadi Menteri Pendidikan, itu (saya) di atas, guru di lapangan, cadangan kita mengenai kerja ditanggung mereka, jadi dengarlah suara guru, selain daripada ibu bapa dan pelajar sendiri,” katanya menerusi video di Facebook malam tadi. Anwar berkata, mentaliti sombong dan angkuh sehingga membuatkan guru tidak boleh menegur atau mengkritik akan mewujudkan kekangan terhadap kebebasan berfikir. Malah, katanya, keadaan itu menyebabkan perancangan tidak dapat dilakukan dengan baik. Beliau berkata, sikap negatif terbabit tidak diamalkannya ketika menjadi Menteri Pendidikan apabila beliau mempunyai hubungan sangat baik dengan kesatuan guru, selain kerap turut ke lapangan untuk mengadakan aktiviti serta mengambil tahu permasalahan golongan itu. Mengulas lanjut, Presiden PKR itu berkata, masyarakat melihat isu pendidikan adalah dekat dengan mereka, justeru apa sahaja perkembangan di Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyentuh perasaan, menyinggung kedudukan dan memberi sama ada keyakinan masa depan atau tidak. Ujarnya, pengalaman dilalui seseorang pelajar sejak persekolahan rendah, menengah dan universiti, bukan sahaja dicorakkan ibu bapa, malah guru. Justeru, beliau berkata, tidak munasabah sekiranya dalam perancangan pendidikan, ia tidak mengambil kira pandangan ibu bapa dan lebih utama, pendapat guru. FB Anwar “Pandangan ini bermakna cadangan baharu, cadangan balas, teguran dan kritikan,” katanya. Sumber: Getaran
|
ADVERTISEMENT