Isu bayaran membabitkan pelakon senior yang dikatakan tidak setimpal sehingga ke hari ini nampaknya masih belum berjaya diselesaikan walaupun sering kali disuarakan oleh golongan pelakon veteran yang masih aktif dalam dunia hiburan.
Memetik laporan Media Hiburan, menurut pelakon Faizal Hussein, perkara itu turut berlaku kepadanya apabila namanya kerap ditolak disebabkan isu pembayaran.
"Berkenaan soal bayaran ini, dah memang jadi kelaziman nama saya sering kali ditolak. Perkara tersebut masih lagi terjadi sehingga ke hari ini.
"Mereka menggelar saya sebagai artis legend tapi bila bercerita soal bayaran tak nak pula bayar seperti artis legend.
"Itulah masalahnya. Sekarang pun saya masih lagi bertarung mengenai isu bayaran ini," katanya.
Melihat kepada situasi semasa, kata Faizal, dia mengambil pendekatan untuk menolak tawaran yang tidak mampu memenuhi setiap kehendaknya.
"Pada saya mudah sahaja, kalau mereka tidak menawarkan bayaran seperti yang saya minta, saya tidak akan buat. Selagi mereka tidak buat keputusan, saya tidak akan berjumpa dengan pihak produksi.
"Sama seperti pengara drama One Cent Thief. Saya tak berjumpa mereka selagi saya tak tahu harga saya untuk projek ini. Bila mereka dah putuskan melalui telefon, baru saya nak jumpa.
"Bagaimanapun, saya tetap melihat kepada kualiti sesebuah karya itu dahulu baru diikuti harga. Jika saya suka sesebuah karya itu, saya sedia kurangkan sedikit soal bayaran," katanya.
Dalam pada itu, Faizal turut berharap stesen televisyen lain turut mengikut langkah pihak Astro yang sanggup membelanjakan kos besar dalam penghasilan sesebuah drama. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My