Diculik dan disamun ketika menyapu sampah di luar rumahnya membuat warga emas berusia 90 tahun trauma.
Kompas.com melaporkan, dalam kejadian berlaku di Bantul, Piyungan itu, mangsa dihampiri empat lelaki yang keluar dari sebuah kereta ketika membersihkan halaman rumahnya.
Ketua Polis Piyungan, Kompol Soegihartono berkata, seorang daripada lelaki bertindak menarik nenek tua itu dan memaksanya masuk ke dalam kenderaan mereka dan menyamunnya. “Ketika di dalam kenderaan itu, mulut nenek berkenaan ditutup dan gelang emas seberat lebih 14 gram di tangan kirinya dirampas. “Perompak itu juga mengambil wang 200,000 rupiah (RM61) dari poket mangsa,” jelasnya. Selepas dirompak warga emas itu dibawa menuju ke kawasan perindustrian dan diturunkan. Soegihartono berkata, mangsa kemudian diselamatkan seorang kenalannya yang kebetulan berada di kawasan itu. “Beruntung ada yang kenal dengan warga emas ini dan mereka terus menolong memberitahu keluarganya sebelum membawanya pulang,” katanya. Balai Polis Piyungan menerima laporan kes berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin dan siasatan lanjut untuk menahan kumpulan perompak tersebut masih dijalankan. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT