Seorang netizen tanpa nama menceritakan bagaimana anaknya akan mengamuk dan memberontak sekiranya permintaan tidak ditunaikan.
Keluhan itu mendapat tumpuan seorang doktor pakar psikiatri di sebuah hospital awam, Hazreen Rashid yang memberikan saranan melalui ciapannya @HazreenAbdul tentang bagaimana untuk tidak terlampau memanjakan anak. “Apabila kita jadi ibu bapa ni, kita mesti nak yang terbaik untuk anak kita. Kita nak jadi perfect di mata anak kita. Tetapi itu adalah perkara mustahil. “Sebab itu dalam konsep psikologi ada istilah good enough parent. Maksudnya seorang ibu bapa ni kena bersederhana bagus saja. Tak boleh terlampau perfect atau terus mengabaikan. Kedua-dua itu buruk kesannya,” katanya ketika dihubungi mStar. Seterusnya Hazreen juga menekankan kepentingan konsep rupture and repair iaitu satu proses untuk membantu anak agar menyedari bahawa ibu bapanya tidak sempurna dan dia harus menerima seadanya. “Maksudnya apabila tiba waktu, ibu bapa ini kena kecewakan anak dia (rupture) seperti permintaan dia tidak dapat dipenuhi atau ada perselisihan faham. “Kemudian masuk proses repair iaitu bina kembali hubungan ibu bapa dengan anak itu melalui bermaaf-maafan dan memujuk. Dengan cara ini anak akan belajar lumrah kehidupan iaitu tidak ada apa yang perfect. Bagaimana untuk hidup dengan realiti,” jelasnya. Ketika ditanya bagaimana hendak mengimbangkan kasih sayang yang perlu diberikan kepada anak, Hazreen berkata ada dua komponen dalam kaedah keibubapaan yang ideal. “Yang pertama sekali ibu bapa ini kena demand maksudnya kita letak satu standard yang anak kita boleh patuhi. Sebagai contoh, kita minta dia buat kerja rumah dan basuh pinggan lepas makan. “Aspek kedua adalah respons, iaitu dengan memberikan perhatian kepada masalah mereka. Sebagai contoh, anak sakit perut, ada masalah dekat sekolah macam kena buli ke, jadi kita ambil berat pasal isu mereka itu. “Parenting yang bagus adalah balance di antara kedua-dua demand dan respons,” terang Hazreen. Seterusnya mengenai anak yang kerap membuat perangai ketika kehendak mereka tidak dituruti, Hazreen mengatakan perkara tersebut perlu diatasi sejak kecil. “Apabila budak mengamuk macam hentak kaki atas lantai, bapa dia akan bagi apa yang dia nak. Dalam behavioral psychology ini disebut reinforcement. “Jadi dia belajar benda ini berfungsi untuk bagi bapa dia tunduk kepada kemahuan dia. Dia akan buat lagi, dan dapat lagi. Ulang-ulang sampai jadi lebih teruk. “Daripada awal, ibu bapa kena tahan telinga dan biarkan saja apabila anak mengamuk nak sesuatu. Bagi mereka belajar. Kalau mampu boleh cuba pujuk dan cakap baik-baik dengan dia,” tambah Hazreen. Hazreen juga memberikan nasihat kepada yang merancang untuk mempunyai anak atau masih dalam peringkat awal membesarkan anak. “Ibu bapa perlu besedia daripada segi fizikal dan mental serta kewangan untuk ada anak. Sebab ada anak ini bukan kita dapat mereka dan biarkan saja, tak semudah itu. “Ada anak itu adalah satu pekerjaan yang memenatkan. Mereka bukan robot yang automatik nanti besar terus okay. Kita kena luangkan masa dan perhatian kepada mereka untuk mereka menjadi manusia yang baik. “Lepas itu, lengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan juga family planning tersangatlah penting,” katanya mengakhiri bicara. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT