Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 42, mengakui dirinya belum layak untuk menjadi calon bagi mewakili parti Barisan Nasional untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Menerusi laporan Harian Metro, pemilik nama sebenar, Rozaidi Abdul Jamil yang juga Ahli Lembaga Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkata, sudah cukup baginya untuk membantu kempen jentera parti pada PRU-15 kali ini kerana itu yang lebih baik.
"Saya tak layak jadi calon. Cukuplah saya dapat bantu jentera parti saja. Bagi saya, tindakan ini lebih wajar diutamakan untuk terus bersama-sama menyokong perjuangan parti.
"Sebabnya, apa yang paling penting bagi saya ialah agar kita dapat menstabilkan ekonomi dan kemakmuran negara. Itu yang amat penting dilakukan dahulu," katanya.
Difahamkan, ada beberapa selebriti yang berminat serta sedia untuk bertanding mewakili parti masing-masing antaranya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Datuk Hans Isaac termasuklah pelawak dan pelakon, Shahrol Shiro. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My