Perbuatan sabotaj atau ‘cah keting’ perlu dihentikan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan yang stabil, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ahli parti seharusnya meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan kerana ‘siapa juga yang dipilih sebagai calon pada pilihan raya membawa bendera parti’, bukannya bertanding atas kapasiti individu dan kemenangan mereka adalah untuk BN. “Dalam pilihan raya semua hendak bertanding dan ramai yang layak untuk menjadi calon … Nak berangan sedikit mahu menjadi calon ok lah, tapi jangan sebab kita hendak bertanding, kita sabotaj kawan yang bertanding, bergerak ke hulu ke hilir untuk pastikan kawan kita kalah.
“Jangan fikir tentang kita sahaja. Kita seronok dua, tiga hari sahaja kerana kawan kalah, tetapi akhirnya yang menderita ialah rakyat. Bayangkan perasaan ahli yang masuk parti daripada usia muda, tidak tidur malam bekerja untuk parti, (sudah pasti kecewa) apabila melihat pimpinan sendiri yang sabotaj sesama sendiri,” katanya. Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini. Sumber: Bernama
|
ADVERTISEMENT