Selepas mendirikan rumah tangga pada 2017, pelakon Mia Ahmad terpaksa berhijrah ke Johor Bahru kerana mengikut suaminya yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim 2 (JDTII), Izham Tarmizi.
Disebabkan itu, Mia terpaksa mengorbankan minatnya pada dunia lakonan bagi memberikan tumpuan pada keluarga. Biarpun begitu, Mia akui bahagia dengan kehidupan yang dinikmati bersama dua cahaya mata. Lebih mengujakan, Mia kini hamil anak ketiga yang dijangka bakal disambut pada Januari depan. Kata Mia, dia tidak boleh menipu diri apabila terbit kerinduan pada bidang lakonan.
"Walaupun menukar nombor telefon, saya terkejut apabila masih ada syarikat produksi berminat memanggil saya berlakon. Tak sangka nama saya masih relevan dalam industri. "Saya akui bila sudah terbiasa 'shooting', perasaan untuk berlakon cukup membuak-buak. Lebih-lebih lagi apabila melihat teman artis berkongsi aktiviti mereka di set penggambaran. "Tapi, saya perlu menerima yang anak-anak juga adalah rezeki. Memang pada peringkat awal, saya sukar menerima kenyataan apabila tidak lagi dapat bekerja, tetapi anak dan keluarga menjadi keutamaan apabila sudah berumah tangga," katanya.
Mia yang mula dikenali selepas membintangi drama Hati Perempuan di TV3 akui sudah lebih tiga tahun meninggalkan dunia lakonan. Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 34, berkata, sekiranya dia mempunyai rezeki untuk tinggal di Kuala Lumpur dia pasti akan meneruskan kerjaya lakonan.
"Jika berpindah ke Kuala Lumpur, mungkin saya boleh pertimbangkan tawaran lakonan. Tapi, disebabkan tinggal jauh di Johor, jadi agak sukar untuk saya berulang-alik. "Lagipun untuk menerima tawaran drama episod agak payah memandangkan tempoh penggambaran yang lama. Jadi, buat masa ini terpaksa saya lupakan buat sementara waktu hasrat untuk kembali berlakon. "Tambahan pula anak-anak masih kecil, jadi untuk dua ke tiga tahun pertama mereka, saya ingin luangkan masa bersama anak-anak dulu. Selepas usia mereka mencecah empat atau lima tahun baru saya pertimbangkan semula untuk berlakon," katanya ketika menyertai program Prof Muhaya Circle (PMC) 2022 Zero Stress Living di Putrajaya.
Beralih mengenai kecaman yang diterima baru-baru ini apabila gaya penampilannya yang terkini dilabel sebagai tidak moden ataupun 'mak cik-mak cik' oleh segelintir pihak yang kurang senang dengan perubahannya, Mia enggan ambil pusing. Menurut wanita berusia 34 tahun itu, gaya pemakaiannya yang lebih sopan itu dilakukan kerana Allah SWT dan bukan untuk bergaya semata-mata. "Bila orang cakap tudung labuh macam mak cik dan tak moden, maaf saya bergaya untuk Allah. "Ada yang cakap saya takkan istiqamah... ada yang cakap suami saya takkan sokong. Saya kuatkan hati sebab saya tahu ini yang terbaik. "Demi Allah saya tahu saya bukan orang baik. Saya ubah cara pemakaian untuk jadi lebih baik bukan untuk nampak baik," katanya.
Menyentuh mengenai program PMC, Mia berkata, sejak mengikuti kelas bersama Prof Muhaya pandangan serta matlamatnya pada kehidupan mula berubah. Sebelum ini katanya, dia sentiasa berusaha memperbaiki diri, tetapi sering kecundang di tengah jalan.
"Prof sentiasa menggalakkan pelajarnya supaya berkongsikan perkara yang dapat memberikan manfaat pada semua orang. Sebelum ini saya pernah berhasrat memiliki perniagaan sendiri, tetapi tidak kesampaian. "Tapi, apabila menyertai PMC fokus saya mula berubah dan semakin bersemangat memulakan perniagaan. Apa yang diajarkan seakan-akan melekat di kepala, bila terfikir untuk melakukan sesuatu yang menyimpang. Saya akan cepat tersedar," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|