Washington: Seorang wanita di Amerika Syarikat bukan hanya mendera anak angkatnya, malah cuba membunuh selepas didakwa melakukan kembiri terhadap kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu.
Bracey Renee Byrd, 33, dari Wilson, North Carolina, didakwa cuba membunuh selepas berniat melakukan kembiri terhadap anak angkatnya itu. Julai lalu, Pejabat Syerif Wilson menerima kes rujukan daripada Jabatan Perkhidmatan Sosial Wilson berhubung siasatan penderaan itu. Pegawai polis Wilson berkata, kanak-kanak itu dihantar menjalani rawatan di hospital selepas melecur teruk di bahagian badannya bersama beberapa kecederaan lain yang ditemui.
Katanya, kanak-kanak itu mengalami lebam di muka, lengan, kepala, kaki, belakang serta bahagian kemaluan. "Di samping pertuduhan cubaan membunuhnya, Byrd menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk penderaan kanak-kanak yang menyebabkan kecederaan badan serius, berniat jahat (cubaan kembiri) dan penculikan peringkat pertama. "Wanita berusia 33 tahun itu juga menghadapi tiga pertuduhan tambahan penderaan kanak-kanak dengan kecederaan fizikal," katanya. Pihak berkuasa menahan Byrd pada 30 September lalu dan kini ditahan di penjara dengan bon AA$2 juta (RM9.26 juta). -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT