Seorang lelaki dan teman wanitanya berasal dari Myanmar maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai, Georgetown, Pulau Pinang.
Harian Metro melaporkan, wanita yang bekerja di sebuah kilang emas itu dikenali sebagai Khin Nyein, 30.
Difahamkan, dalam kejadian jam 8 malam itu, lelaki berusia 30-an terlebih dahulu menikam wanita terbabit sebelum melompat dari tingkat lapan pangsapuri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superitendan V Saravanan berkata, saksi kejadian memaklumkan pasangan itu baru pulang dari kerja.
"Setibanya di tingkat lapan pangsapuri itu, suspek lelaki tiba-tiba memeluk si mati dari arah belakang dan menutup mulutnya.
"Dia kemudian menikam perut wanita itu beberapa kali menggunakan pisau," katanya.
Saravanan berkata, saksi cuba menyelamatkan rakannya namun ditolak suspek.
"Suspek kemudian terjun dari pangsapuri itu dan meninggal dunia.
"Mayatnya ditemui di tempat letak kereta di tingkat bawah," katanya sambil menambah mangsa dan suspek tidak tinggal bersama.
Saravanan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My